Berjaya duduki SPM, hafaz al-Quran ketika lawan kanser otak

KUALA LUMPUR: Walaupun disahkan menghidap kanser otak sejak berumur 10 tahun, semangat Muhammad Ammar Azman tidak pernah luntur untuk meneruskan pembelajarannya.

Anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu berjaya menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta menghafaz al-Quran walaupun dalam tempoh berkenaan, beliau terpaksa menjalani enam pembedahan dan sesi radioterapi bagi ‘memerangi’ penyakit barah yang dihidapi.

Berkat kecekalan usaha, Muhammad Ammar yang kini berusia 22 tahun serta disahkan bebas kanser sejak dua tahun lalu, berjaya memperoleh geran bawah Program Pendidikan Anak-Anak Kakitangan Yayasan Sime Darby (YSD) untuk melanjutkan pelajaran dalam program Diploma Pendidikan (Pengajian Islam) di Universiti Selangor (Unisel).

“Pada mulanya, saya agak keberatan menyambung pelajaran selepas SPM, kerana ibu bapa terpaksa menanggung hutang yang banyak berikutan keadaan kesihatan saya.

“Mengambil kira masalah kewangan yang dihadapi, saya memberitahu ibu bapa bahawa saya tidak kisah jika terpaksa menangguhkan pengajian, namun mereka tidak menerimanya.

“Saya bernasib baik kerana ibu adalah kakitangan Sime Darby Property Berhad, sekali gus melayakkan saya mendaftar untuk geran YSD. Ia telah membuka jalan untuk saya melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Islam yang saya amat minati,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan anugerah berkenaan, di sini, semalam.

Muhammad Ammar merupakan antara 306 penerima biasiswa pada Majlis Anugerah Biasiswa (SAC) tahunan YSD, iaitu sebahagian daripada komitmen yayasan itu dalam menyediakan pendidikan inklusif dan berkualiti.

Majlis disempurnakan Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar, dan Presiden OKU Sentral yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Datuk Ras Adiba Radzi.

Muhammad Ammar mengaku amat meminati pengajian al-Quran dan bersemangat untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya membaca al-Quran setiap hari dan apabila ada peluang, akan cuba menghafal setiap bacaan walaupun ia agak mencabar. Amalan itu telah menjadi rutin bagi saya.

“Kini, tiada lagi sel kanser dikesan dalam tubuh, justeru saya boleh memberi sepenuh perhatian kepada pengajian diploma dan al-Quran,” katanya.

Bercita-cita untuk menjadi guru pengajian Islam kelak, Muhammad Ammar turut menggalakkan individu yang mempunyai pengalaman sama dengannya supaya tidak mudah putus asa.

Dengan ‘Pendidikan untuk Semua’ sebagai tema tahun ini, SAC diadakan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi mencerminkan semangat serta aspirasi Keluarga Malaysia. – BERNAMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts