Zaman sekarang, sempena sambutan meraikan sesuatu perayaan terutamanya sambutan Aidilfitri yang masih meriah pada ketika ini, ramai dalam kalangan umat Islam yang berkemampuan mengadakan majlis rumah terbuka.
Hakikatnya, amalan sebegini sangat baik kerana ia bertujuan menjamu sanak-saudara dan rakan-taulan dengan pelbagai jamuan. Ia termasuk salah satu daripada bentuk sedekah. Bukan setakat itu, malah majlis sebegini juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan ikatan ukhuwwah antara satu sama lain.
Namun, dalam kemeriahan mengadakan majlis rumah terbuka ini dan bagi memastikan ia diterima oleh Allah SWT sebagai salah satu bentuk ibadah, setiap penganjur wajib menjaga hati masing-masing agar majlis yang diraikan itu tidak terpalit dengan perasaan riak dan takabbur dalam diri.
Misalnya, timbul dalam diri rasa ingin menunjukkan kepada tetamu yang dia bercitarasa tinggi dengan mampu menukar perabot, kain langsir baru serta pelbagai kelengkapan rumah lain setiap perayaan. Ada juga timbul rasa megah bahawa mereka berkemampuan menempah pelbagai juadah makanan dengan khidmat katerer yang mahal dan dikenali ramai.ADVERTISING
Dalam mengadakan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri, memang tidak dinafikan terdapat segelintir individu yang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dan kemewahan yang mereka miliki. Ada yang mengambil kesempatan untuk mempamerkan perabot baru, pakaian yang mewah dan barang perhiasan yang mahal untuk tatapan tetamu yang hadir.
Apabila tetamu yang hadir memuji kemewahan dan kecantikan perhiasan yang dimiliki oleh seseorang penganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri itu, dia akan mula merasa megah dan tinggi diri dengan pujian tetamu yang hadir sehinggakan lupa untuk mengembalikan pujian itu kepada Allah SWT.
Mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri dengan tujuan untuk bermegah-megah, menunjuk-nunjuk dan berbangga-bangga diri adalah jelas dilarang oleh Islam. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu)” (Surah al-Qasas ayat 76)
Oleh itu, dalam mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri ini, setiap umat Islam wajib menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang secara jelas dilarang oleh Allah SWT seperti bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk.
Bagi golongan yang berkeinginan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri bagi tujuan meraikan sanak saudara dan sahabat handai, tetapi bajetnya tidaklah banyak, mereka bolehlah mengadakannya mengikut kemampuan yang ada atau secara sederhana.
Islam tidak menolak apa-apa saja yang dianggap baik, asalkan tidak bertentangan dengan syarak. Dalam hal ini, janganlah kerana terlalu ingin bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dalam mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri, seseorang yang kurang bajet itu sanggup berhutang.
Dalam hal ini, kita tidak perlu malu dan segan kerana tidak mampu untuk menyediakan juadah setanding seperti orang lain. Janganlah sampai ada yang sanggup berhutang semata-mata untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang akhirnya mencipta hutang baru sedangkan hutang lapuk masih belum dilangsaikan.
Sebaik-baiknya majlis rumah terbuka Aidilfitri hendaklah dianjurkan mengikut kemampuan masing-masing, besederhana dan tidak membazir. Untuk mengelakkan pembaziran, penyediaan juadah makanan perlu disesuaikan dengan jumlah tetamu yang dijemput.
Sebagai nasihat kepada penganjur majlis rumah terbuka Aidilfitri ini, mereka hendaklah mempunyai niat yang murni iaitu untuk bersedekah, mengeratkan hubungan silaturahim dengan ahli keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai; dan untuk menghubungkan kembali talian persaudaraan yang mungkin telah lama terhakis atau renggang.
Di samping itu, janganlah sama sekali lupa menjemput golongan yang tidak bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang ditimpa musibah kebakaran, kehilangan orang tersayang. Kadangkala dalam kerancakan dan keghairahan mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri, kita terlupa menjemput jiran tetangga dan orang miskin yang tinggal di sekeliling kita.
Carilah rahmat dan keberkatan Allah SWT sepanjang Syawal ini. Hindarilah daripada melakukan perkara mungkar yang boleh merosakkan harmoninya sesuatu penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri ini. Bukan kekenyangan dan kemegahan yang didambakan melainkan lindungan dan syafaat Allah SWT yang berkekalan.
Penulis pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang– My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM