Rakyat Malaysia digesa boikot syarikat, produk sokong Israel

BANGI– Umat Islam di seluruh dunia wajib membantu rakyat Palestin yang sedang berjuang mempertahankan diri dan tanah air menghadapi serangan kejam rejim Israel.

Selari itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa seluruh rakyat Malaysia untuk memboikot semua syarikat antarabangsa dan barangan yang didapati memberi dana kepada Israel.

Beliau berkata, sebagai negara Islam, Malaysia diminta mengikut tindakan beberapa negara termasuk Arab Saudi, Mesir, Lubnan dan Kuwait yang sudah memulau syarikat-syarikat berkaitan, termasuk sebuah restoran makanan segera terkenal.

“Saya menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya memulau kesemua perniagaan antarabangsa dari Amerika Syarikat kerana didapati menyalurkan bantuan kepada rejim Zionis dan tentera Israel yang menyerang rakyat Palestin di Gaza.

“Amerika Syarikat perlu ‘disedarkan’ supaya menghentikan polisi ‘double standard’ yang dipraktikkan selama ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, kuasa besar dunia itu menyokong Republik Ukraine menentang Russia, sedangkan di Palestin AS menyebelahi Israel dan membantunya menyerang rakyat yang berjuang mengembalikan hak serta negara mereka yang dirampas sejak 1948.

“Saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia sama ada yang beragama Islam dan bukan Islam menunaikan tanggungjawab kemanusiaan mereka dengan menghulurkan bantuan kepada penduduk Gaza khususnya untuk meringankan penderitaan mereka akibat serangan dari Israel.

“Ini susulan media melaporkan tentera penjajah Zionis menyasarkan kemudahan-kemudahan awam di Semenanjung Gaza termasuk hospital, masjid dan kediaman penduduk,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan 300 rakyat Palestin syahid pada hari kelapan serangan Israel ke atas Gaza.

Jurucakapnya, Ashraf al-Qidra berkata, kebanyakan yang terbunuh pada Sabtu terdiri kanak-kanak dan wanita, manakala seramai 800 lagi penduduk cedera dalam serangan itu.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts