Bukan Islam tidak dibenar jadi peguam syarie

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini tidak perlu bimbang kerana tiada individu bukan Islam dibenarkan memohon menjadi peguam syarie terutama di Wilayah Persekutuan.

Perkara berkenaan disahkan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika ditanya mengenai status kelayakan peguam syarie.

“Kita sebenarnya telah lama ada keputusan di peringkat Mahkamah Persekutuan dan pada masa itu sudah pun ada kaedah yang memastikan hanya peguam beragama Islam dibenarkan.

“Justeru kaedah baharu adalah masih serupa dan dengan ada majlis peguam syarie, peraturan itu diperkukuh untuk lebih elok lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir menyaksikan sesi Mesyuarat Pemilihan Anggota Majlis Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, di sini semalam.

Ia susulan penguatkuasaan Akta Profesion Guaman Syarie 2019 yang mana perundangan baharu itu turut dikenali sebagai Akta 814 mula berkuat kuasa secara rasmi pada 21 Jun lalu setelah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 27 Mei lepas.

Sebelum itu, para pengamalnya tertakluk di bawah Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1993 mengikut Seksyen 59 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1993.

Ditanya lebih lanjut, Mohd. Na’im bagaimanapun tidak mendedahkan perincian akta itu tetapi mengiyakan bahawa kini orang bukan Islam tidak lagi boleh dilantik sebagai peguam syarie.

Sebaliknya, beliau meminta masyarakat agar merujuk isu ketetapan penghakiman diputuskan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Kuala Lumpur pada 2016 lalu.

Berdasarkan laporan media ketika itu, majoriti panel mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013 yang merujuk permohonan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Agensi tersebut asalnya menolak permohonan seorang peguam bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin untuk menjadi peguam syarie di Wilayah Persekutuan tanpa perlu dia memeluk Islam.

Plaintif dalam tuntutan sivilnya itu mendakwa bahawa tindakan MAIWP yang enggan memproses permohonan dirinya sebagai konon telah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Keputusan oleh mahkamah tertinggi negara itu ternyata melegakan umat Islam yang bimbang peguam bukan Islam ‘menguasai’ mahkamah syariah dan bertindak mengubah hukum syarak.

Mengulas perkara, tersebut, Idris ketika ditanya pemberita, berharap agar negeri-negeri lain turut akan mewartakan enakmen yang serupa demi memartabatkan imej profesion peguam syarie.

“Prospek kerjaya ini amat luas bahkan di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan setakat ini baru ada lebih 900 peguam syarie yang berdaftar untuk memberi khidmat kepada umat Islam,” katanya.

 Sambil menyifatkan bilangan itu sebagai kecil dan tidak seimbang dengan nisbah penduduk, beliau berharap lebih ramai Muslim tampil memohon sebagai peguam syarie dalam masa terdekat. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts