China lulus undang-undang ‘penchinaan’ Islam

 

BEIJING – China meluluskan undang-undang baharu bagi melaksanakan tindakan sinicize atau menerapkan nilai-nilai China ke dalam agama Islam bagi tempoh lima tahun akan datang, langkah terbaharu oleh Beijing untuk ‘menulis semula’ bagaimana agama itu perlu diamalkan.

Portal berita al-Jazeera yang memetik akhbar berbahasa Inggeris utama China, Global Times melaporkan, melalui undang-undang baharu itu, kerajaan bersetuju untuk ‘membimbing’ Islam agar bersesuaian dengan fahaman sosialisme dan melaksanakan langkah-langkah membentuk Islam mengikut acuan sinicize.

Global Times bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut atau nama persatuan yang bersetuju dengan keputusan berkenaan.

China telah menjalankan ‘kempen’ serupa sejak beberapa tahun kebelakangan ini di bawah pemerintahan Presiden Xi Jinping.

Mengamalkan ajaran Islam telah dilarang di beberapa bahagian atau wilayah di negara ini.

Mereka yang didapati bersolat, berpuasa, menyimpan janggut, memakai hijab berdepan ancaman untuk ditahan oleh pihak berkuasa.

Malah, sekolah agama dan kelas bahasa Arab telah dilarang dan kanak-kanak tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti Islam.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih sejuta etnik Islam Uighur ditahan di ‘kem pengasingan’ dan dipaksa untuk meninggalkan Islam dan menyatakan kesetiaan terhadap Parti Komunis.

Kumpulan-kumpulan hak asasi manusia sebelum ini juga menuduh China terlibat dalam kempen ‘penghapusan etnik’.

Pada Ogos lalu, Washington Post memaklumkan dunia ‘tidak boleh mengabaikan’ kempen menentang umat Islam.

China bagaimanapun sering menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa selalu melindungi agama serta budaya kaum minoritinya.

Namun, seperti dilaporkan oleh South China Morning Post pada minggu lalu, pihak berkuasa wilayah Yunnan telah menutup tiga masjid yang dibina untuk etnik minoriti Muslim Hui pada minggu lalu. – Utusan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts