1.Api yang sedang marak tidak dapat dipadamkan dengan api juga. Itu adalah asas dan logik yang boleh diterima oleh semua orang yang masih sejahtera fitrahnya. Di manakah wajarnya pada hujah mereka yang mengatakan bahawa masalah zina dan jenayah seksual dapat diselesaikan dengan membuka rumah pelacuran yang lain?
2.Agama islam merupakan agama yang fleksibel dan realistik sesuai dengan fitrah manusia itu sendiri. Secara umumnya, Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara melainkan akan dibuka pintu-pintu halal lain yang lebih banyak. Dan bagi mereka yang benar-benar bertakwa, mereka akan sedar betapa banyaknya jalan keluar daripada masalah dan pintu-pintu halal yang lain. Renungilah maksud dalam surah Al-Talaq. Firman Allah SWT:
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا ﴿٢﴾ وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Maksudnya: “Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah Al-Talaq : 2-3)
2.Jangan sampai kita menjadi penyokong kepada kebatilan tanpa sedar.Al-Quran al-Karim juga mengecam golongan Musyrik yang berani mengharamkan atau menghalalkan sesuatu tanpa keizinan daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلَالًا قُلْ آللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ
Maksudnya: Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): “Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah SWT untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?” Katakanlah lagi (kepada mereka): “Adakah Allah SWT izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah SWT? (Surah Yunus: 59)
Dan firman Allah SWT lagi:
وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلَالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah SWT. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah SWT tidak akan berjaya. (Surah al-Nahl: 116)
3.Apabila Islam mengharamkan sesuatu, Islam juga menawarkan alternetif lain yang lebih baik . Contoh-contoh tersebut banyak di dalam Al-Quran, antaranya,
- Islam mengharamkan zina, tetapi meghalalkan perkahwinan yang suci. (Surah al-Isra’, 17:32)
- Islam mengharamkan riba , tetapi mengharuskan jual beli yang sah. (Surah al-Baqarah: 275)
- Islam mengharamkan babi dan arak, tetapi menghalalkan banyak lagi makanan dan minuman yang lain. (Surah al-Baqarah: 173)
Jadi tidak menjadi alasan bahawa seolah-olah tidak ada jalan keluar dalam isu ini sedangkan banyak cara lain yang lebih rasional , halal dan selamat.
4. Isu zina dibincangkan panjang lebar di dalam perbahasan fiqh dan juga Maqasid Syariah. Berikut 3 sebab mengapa perbuatan zina sangat ditegah,
1)Perbuatan zina adalah menyalahi Maqasid Syariah: Al-‘Irdh iaitu kehormatan diri.Menurut Ibn ‘Asyur, Al-Ird juga di letakkan bawah maqasid al-nasab atau al-nasal.
2)Di dalam Fiqh Islami, perbuatan zina yang dipaksa tidak ada kompromi di dalam perlaksanaan hukum hudud keatas pelakunya.Ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga Maqasid Al-Irdh dan juga An-Nasal.
3) Zina dan seks songsang yang berleluasa merupakan punca terbesar kepada penyebaran penyakit HIV dan AIDS
5. Akhir sekali, kita akan menyedari bahawa seorang mukmin yang soleh akan berfikir dan bertutur dalam pola fikir yang sejahtera berpaksikan ajaran Islam. Dalam membincangkan apakah usaha untuk mencegah maksiat, tidak mungkin kita pernah terlintas di fikiran bahawa benarkah sebuah lubang maksiat boleh ditutup dengan menggali lubang maksiat yang lain? Dan benarkah sebuah pintu dosa boleh ditutup dengan membuka pintu dosa yang lain pula?
Ustaz Fitri Adnan
Penyelidik, Majlis Ulama Isma(MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM