Cari penyelesaian sesuai isu arak jenama Timah

Kontroversi mengenai isu arak berjenama ‘Timah’ buatan Malaysia ini menjadi topik hangat sejak akhir-akhir ini. Bukan sahaja dipaparkan di dada akhbar dan media sosial di Malaysia, namun ia turut dibahaskan pada peringkat mesyuarat kabinet.

Ada yang menganggap perkara isu itu menyentuh sensitiviti dan mengelirukan umat Islam. Menurut pandangan ini, penggunaan nama Timah merujuk kepada puteri Rasulullah SAW, iaitu Fatimah Az Zahra dan juga nama wanita Melayu Islam. Ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan gambar orang berkopiah dengan janggut panjang memaparkan individu berimej agama.

Di suatu sudut yang lain pula, ada pihak berpendapat bahawa masyarakat perlu berfikir secara logik dan rasional, selain isu ini juga tidak sepatutnya dipolitikkan.

Tambahan pula, pelabelan nama Timah itu berasal daripada perkataan ‘bijih timah’ manakala, gambar lelaki berjanggut itu pula dikatakan adalah imej Kapten Speedy, pegawai Inggeris yang pernah berkhidmat di Larut Matang, Perak.

Mengapakah ada dua sudut pandang yang berbeza dalam isu ini? Hal ini disebabkan manusia adalah hakim kepada kehidupan sendiri yang mempertimbangkan sesuatu isu sebelum membuat keputusan.

Moral dan kepercayaan dalam diri masing-masing akan mempengaruhi sesuatu keputusan yang dibuat. Kenyataannya, jika seseorang itu tidak pernah membeli dan meminum arak, dia tidak akan mengambil tahu pun di mana produk sebegitu dijual.

Namun, bagi seorang yang meminum dan penggemar minuman berkenaan, di pelosok mana pun di dunia ini tentu sahaja mereka tahu untuk mencarinya.

Justeru, semua ini pokok pangkalnya adalah berbalik kepada soal keutuhan pegangan agama dan moral di dalam diri seseorang. Setiap orang dengan kepercayaan agama yang kukuh dan baik moralnya akan dapat membezakan baik dan buruk sesuatu hal itu kepada diri mereka.

Ia bolehlah disamakan mengapakah dalam menangani sesuatu kes, hakim mempunyai keputusan kehakiman yang berbeza-beza, walaupun merujuk kepada undang-undang, fakta kes dan duluan kehakiman yang sama?

Menurut teori undang-undang Realisme, keputusan kehakiman adalah satu amalan subjektif. Salah satu idea utama yang dibawa oleh gerakan realis undang-undang ialah, keputusan sesuatu kes bukanlah dipengaruhi oleh fakta dan undang-undang semata-mata, namun ia turut dipengaruhi oleh moral dan kepercayaan hakim itu sendiri.

Hakim juga adalah seorang manusia yang mana dia bukanlah makhluk yang sempurna. Sudah pasti keputusan yang dibuat itu mungkin tidak akan lari daripada kesalahan kecil mahupun besar.

Oleh itu, nilai agama dan moral dalam diri seorang hakim itu menjadi panduan sebagai asas kepada keputusan yang dibuat.

Seorang hakim juga perlu terdorong untuk membuat keputusan berdasarkan kepentingan dan kebaikan awam. Kesihatan dan keselamatan awam hendaklah dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.

Justeru, dalam hal arak berjenama Timah ini, marilah bersama-samalah kita bermuhasabah diri. Janganlah air yang setitik dilautkan, tanah seketul digunungkan semata-mata untuk meraih kepentingan peribadi.

Adalah lebih baik untuk kita bersama-sama mengenal pasti punca masalah yang sebenarnya dan mencari jalan penyelesaian yang sesuai. Agar tidak timbul pelbagai isu pada kemudian hari. Selain bersama menjaga keharmonian sesama kita. -Berita Harian

Nur Farhanim Harun dan Prof Madya Dr Shahrul Mizan Ismail,

Universiti Kebangsaan Malaysia

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts