Cikgu Chan teruja ajar tulisan khat, Jawi tahun hadapan

 

KOTA BHARU – Beliau sudah berpengalaman mengajar subjek Bahasa Melayu sekolah rendah lebih 24 tahun tetapi bermula tahun hadapan cabaran baharu menanti Cikgu Chan Seew Eng apabila bakal mengajar tulisan khat yang merupakan sebahagian daripada sukatan subjek Bahasa Melayu Tahun 4.

Seew Eng, 54, yang merupakan Guru Penolong Kanan (Ko-Kurikulum) Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Ismail (2) di sini berkata, kali terakhir beliau aktif menggunakan kemahiran menulis dan membaca tulisan Jawi adalah pada tahun 1994 ketika menuntut di Institut Bahasa Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Chan berkata, pada masa ini beliau dipertanggungjawab mengajar subjek Bahasa Melayu Tahun Lima namun dengan kelebihannya yang pandai menulis Jawi pihak sekolah mahukannya mengajar murid Tahun Empat pula pada tahun hadapan.

“Sudah tentu saya rasa teruja mengajar khat atau tulisan Jawi kepada anak murid, ini bermakna saya sendiri kena perbaharui balik ilmu dan kemahiran yang saya pelajari sejak tahun 1972 lagi iaitu ketika bersekolah di SK Pulau Gajah, Pengkalan Chepa.

“Saya minat Jawi kerana ayah saya, Chan Hock Teng yang meninggal dunia pada 2003 juga mahir menulis Jawi malah saya satu-satunya daripada lima adik beradik yang menurut jejaknya,” katanya ketika ditemui di sini.

 

 

Kisah Seew Eng yang pandai membaca dan menulis Jawi serta mencatat keputusan yang baik dalam subjek Pendidikan Agama Islam dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pernah disiarkan dalam Utusan Online pada April lalu.

Sementara itu, ketika ditanya persepsi negatif sebahagian pihak mengenai keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan khat dalam sukatan Bahasa Melayu Tahun Empat tahun hadapan, Seew Eng berkata, ia seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang memberi nilai tambah kepada pelajar.

“Saya nampak ini sebagai peluang untuk pelajar menambah ilmu dan kemahiran dalam kehidupan, mereka dapat kuasai pelbagai tulisan, sekarang pun banyak papan tanda menggunakan tulisan Jawi.

“Kita tidak perlu bimbang, pada pandangan saya ia tidak ada kaitan dengan agama tetapi memberi pelajar pengetahuan baharu malah dapat eratkan hubungan masyarakat pelbagai bangsa seperti zaman dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Sultan Ismail (2), Mohammad Fadzil Mat Il berkata, pihakya merancang untuk meminta Seew Eng mengajar subjek Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun hadapan kerana ia akan merangsang murid belajar tulisan jawi dengan lebih baik.

“Murid akan rasa lebih seronok melihat guru yang berbangsa lain daripada mereka mempunyai minat tinggi kepada tulisan Jawi. Proses pembelajaran akan sama-sama berlaku antara Cikgu Chan dan anak-anak muridnya sendiri,” katanya. – Utusan Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts