Cintai al-Quran sejak usia empat tahun

Kuala Lumpur: Dilahirkan sebagai insan istimewa kurang upaya (OKU) penglihatan tidak menjadi penghalang Muhammad Iman Izzuddin Jamaludin mencintai al-Quran seawal usia empat tahun.

Muhammad Iman Izzudin, 21, mula belajar mengaji ketika berusia empat tahun menggunakan daya pendengaran dan ingatannya melalui cakera padat (CD) akademik al-Quran.

Anak kelahiran Tenom, Sabah itu kini sudah lebih tiga kali khatam al-Quran dan sedang menghafaz kalam Allah SWT itu dengan semua itu dilakukan atas kemahuan sendiri yang mencintai al-Quran.

“Dahulu saya tidak tahu ada al-Quran Braille dan belajar mengaji dengan mendengar melalui CD dan kemudian mengingatinya.

“Apabila tahu mengenai ada al-Quran Braille saya mempelajarinya sejak 2008. Biarpun tidak mudah pada mulanya tetapi apabila sudah menguasai ia jadi lebih mudah,” katanya yang diangkat sebagai Juara Hafazan kategori lelaki Majlis Tilawah al-Quran Braille (MTQB) 2022 di sini, semalam.

MTQB 2022 dianjurkan Yayasan Maghfirah (YM) bersama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) yang disertai 32 perserta kurang upaya (OKU) penglihatan seluruh negara bermula kelmarin hingga hari ini.

Pelajar tingkatan enam atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin Tuaran berkata, dia kini sudah menghafaz hampir 10 juzuk al-Quran dan menjadikan Qari dari Iran, Mohsen Haji Hassani Kargar dan Qari Mesir, Syeikh Mutawalli sebagai inspirasinya dalam menyertai tilawah.

“Saya tidak mahu menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk belajar dan hayati al-Quran sekali menghafaz kalam Allah SWT itu.

“Saya bercita-cita mahu menjadi tenaga pengajar al-Quran untuk golongan senasib supaya mereka tidak ketinggalan dan dapat mendalami al-Quran dalam kehidupan,” katanya.

Bapanya, Jamaludin Imam Kassim, 60, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu sudah lebih tiga kali khatam al-Quran setiap Ramadan.

Katanya, Muhammad Iman Izzuddin seorang anak istimewanya yang bukan saja OKU penglihatan, malah anak itu juga tidak makan nasi sejak kecil dan hanya makan roti serta kentang setiap hari.

“Saya bersyukur anak menyertai tilawah dan saya akan menyokong semua yang baik untuk masa depan dan cita-citanya yang mahu menjadi guru al-Quran kepada golongan senasib.

“Dia mula menyertai pertandingan tilawah dan hafazan sejak berusia sembilan tahun, manakala untuk tilawah anjuran Pertis adalah yang kedua,” katanya.- My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts