Dikelilingi masyarakat Melayu membuka hati masuk Islam

 

TUNJANG – Dikelilingi masyarakat Melayu yang mengamalkan ajaran Islam berjaya membuka hati seorang murid Tahun Lima, Lim Ching Hong (Mohd Firdaus) memeluk Islam.

Dia yang merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik itu tidak mendapat halangan daripada kedua ibu bapanya untuk menerima Islam.

Bapanya, Lim Hun Kheng, 45, berkata, anaknya itu mula menunjukkan minat untuk masuk Islam sejak bersekolah tadika.

“Dia balik cerita kat saya macam-macam pasai Islam, tapi saya ingat dia budak-budak lagi, jadi saya tak bagi.

“Tapi sampai la Mac lalu, dia balik cerita lagi pasal Islam, cantik Islam ni dia kata.

“Jadi saya rasa hati dia ni memang dah ada kat Islam, jadi saya bagi izin dia masuk Islam tapi dengan syarat dia kena betul-betul ikut Islam,” katanya, ketika ditemui di rumah mereka, di sini.

Menurutnya, Mohd Firdaus bersunat sejak usianya lapan tahun.

“Dalam peperiksaan Pendidikan Islam masa darjah dua pun dia dapat gred A, padahal masa tu cikgu tak ajar dia pun.

“Dia cuma dengar dan tengok saja tapi boleh jawab, cikgu kelas dia pun terkejut sampai panggil isteri saya pi sekolah,” katanya.

Hun Kheng berkata, Mohd Firdaus juga bertuah kerana mempunyai keluarga angkat yang sanggup membimbingnya mengenali Islam.

“Sepanjang bulan puasa lalu, tokwan (Aziz Isa, 60,) selalu bawa Mohd Firdaus pi sembahyang tarawih dan berbuka puasa.

“Kalau waktu sahur kat rumah, dia bangun macam biasa, mak dia (Wan Dee Fandesa, 40) bangun masak bagi dia makan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Firdaus ketika ditemui berkata, sambutan puasa dan raya tahun ini berbeza setelah bergelar saudara baharu.

“Rasa seronok sangat sambut puasa dan raya, saya tinggal puasa empat hari saja sebab demam.

“Masa nak masuk Islam dulu tak tau nak cakap rasa macam mana, tapi rasa seronok,” katanya mengimbas kembali kenangan pada Mac lalu.

Bagi Aziz, dia akan membimbing Firdaus sebaik mungkin agar menjadi saudara baharu yang patuh pada agama.

“Saya dah anggap dia macam cucu saya sendiri, Insya-ALLAH, saya akan ajar segala ilmu termasuk fardu ain dan semua perkara tentang Islam,” katanya.

Aktivis Masyarakat Kedah, Amirul Syahir Musa pula berkata, beliau berharap pihak berwajib mengambil berat tentang perkembangan Firdaus.

“Saya harap Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menyediakan kelas pengajian agama percuma kepadanya supaya adik ini boleh belajar agama dengan lebih selesa,” katanya yang turut menyampaikan sedikit bantuan kepada Firdaus. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts