DNA babi dalam kuih bulan berlogo halal

KOTA KINABALU: Pembaharuan sijil halal sebuah syarikat pembuatan dan penjual roti, di sini dibekukan susulan penemuan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) babi pada kuih bulan yang berlogo halal.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Ramlan Awang Ali berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) mendapati Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) syarikat tersebut tamat tempoh pada 15 Mei lalu.

Walau bagaimanapun, syarikat itu masih menjual produk makanan yang mempunyai DNA babi dengan menggunakan logo halal.

“Biarpun syarikat itu mengakui kesilapan mereka namun, Muis berpandangan syarikat berkenaan melakukan ketidakpatuhan syariah yang amat serius membabitkan produk makanan.

“Ini dibuktikan melalui keputusan ujian makmal daripada Jabatan Kimia Malaysia yang bertarikh November yang menemukan DNA haiwan iaitu babi pada sampel kuih bulan keluaran syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramlan, yang juga Setiausaha Muis berkata, berikutan pelanggaran dan ketidakpatuhan syariah yang dilakukan syarikat ini amat serius dan bertentangan dengan dasar syarak (Islam) kerana melibatkan DNA babi dalam makanan maka, Muis akan membekukan akuan permohonan pembaharuan syarikat ini dalam sistem MyeHalal dan menarik balik SPHM mereka.

Justeru, syarikat ini dilarang sama sekali mengunakan SPHM dan logo Halal Malaysia untuk sebarang tujuan perniagaan, publisiti atau lainnya di dalam atau di luar premis atas nama syarikat.

Mengulas lanjut katanya, Muis menasihatkan semua pihak yang mengunakan sijil dan logo halal Malaysia supaya menjaga kepentingan dan sensitiviti masyarakat Islam dengan memastikan makanan, produk atau barang gunaan yang dikeluarkan sentiasa patuh syariah.

Tambah beliau, aduan mengenai isu halal bagi kuih bulan keluaran syarikat itu dibuat pada 16 September lalu dan ia disusuli pemeriksaan Jheains bersama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Sabah pada 23 September.

Kemudian, Muis menerima laporan secara bertulis pada 16 November lalu daripada Jheains bagi memanggil pihak syarikat berkenaan untuk datang ke Pejabat Muis pada 19 November bagi mendapatkan maklumat lanjut.-UTUSAN ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts