Doa dan zikir ketika rukuk & sujud

  1. Kita sudah dibiasakan dengan satu lafaz zikir saat kita rukuk dan sujud sejak kecil lagi. Namun, pada hakikatnya terdapat beberapa lagi doa yang lain, yang pernah dibacakan sendiri oleh Rasulullah ketika Baginda rukuk dan sujud.
  2. Antaranya seperti yang direkodkan oleh al-Bukhari. Saidatina Aisyah menceritakan bahawa Rasulullah sering membaca tasbih dan lafaz istighfar ini ketika sujud. Kata Aisyah: Sesungguhnya Rasulullah banyak membaca zikir ini ketika Baginda sujud iaitu:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami dan segala puji-pujian buat-Mu. Ya Allah Ampunkanlah (dosa-dosaku). (HR al-Bukhari)

  1. Manakala dalam riwayat Muslim pula, Saidatina Aisyah turut pernah menceritakan bahawa Rasulullah juga membaca tasbih ini di dalam rukuk dan sujud Baginda. Lafaz ini mirip dengan lafaz yang sering kita ungkapkan dalam bulan Ramadan iaitu:

سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ، رَبُّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوحِ

Maksudnya: Maha Suci, Maha Quddus, Tuhan kepada seluruh Malaikat dan Ruh. (HR Muslim)

  1. Saidina Auf bin Malik pula menceritakan pengalaman beliau mendirikan solat bersama dengan Rasulullah. Menurut beliau, Baginda akan membacakan zikir ini di dalam rukuk Baginda iaitu:

سُبْحَانَ ذِي الْجَبَرُوتِ، وَالْمَلَكُوتِ، وَالْكِبْرِيَاءِ، وَالْعَظَمَةِ

Maksudnya: Maha Suci Zat yang memiliki sifat kekuasaan, kerajaan, kebesaran dan keagungan. (HR al-Nasa’i)

  1. Saidina Abu Hurairah pula meriwayatkan lafaz doa yang berbeza yang diucapkan oleh Rasulullah ketika Baginda sujud. Doa tersebut ialah:

أللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ، دِقَّهُ، وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، زَادَ ابْنُ السَّرْحِ: عَلَانِيَتَهُ وَسِرَّهُ
Maksudnya: Ya Allah, ampunkanlah dosaku selurunya, yang halus atau yang besar, dari awalnya hingga akhirnya. (HR Abu Daud)

  1. Oleh yang demikian, tidak menjadi halangan buat kita untuk mempelbagaikan zikir berdasarkan doa, zikir dan tasbih yang diungkapkan oleh Rasulullah sendiri. Adalah lebih andai sekiranya dapat kita hayati setiap lafaz dan maksudnya.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
5
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts