Duit raya sebagai adat dan hadiah, perlu diteliti hikmahnya dan maslahatnya, serta perlu dipastikan ia tidak membawa masalah lain
Timbul baru-baru ini isu kedudukan duit raya yang kita amalkan dalam adat setempat di Malaysia khususnya. Sejauhmana relevannya dalam situasi kita?
- Saya berpandangan duit raya ini sebagai satu gambaran perkongsian kegembiraan, serta membahagiakan orang lain (terutama kanak-kanak dan sanak keluarga atau golongan yang tua) yang merupakan salah satu aplikasi amalan yang afdhal dilakukan seperti dalam hadis Nabi SAW (Hadis Hasan, Riwayat At-Tabrani)
Hari Raya adalah hari kegembiraan, makan dan minum serta hari untuk berbahagia. Adat di Malaysia seperti duit raya, mengunjungi rumah ke rumah dan ziarah sanak saudara, adalah termasuk dalam kategori penzahiran kegembiraan di samping menghubungkan silaturahim sesama keluarga.
Namun dalam meneliti adat ini, hukum asalnya bergantung kepada matlamat dan hikmah yang ingin dicapai.
Selagi ia tidak memberatkan, menyusahkan, dan benar-benar mencapai maslahat yang diniatkan, maka ia boleh dimasukkan dalam kategori adat yang digalakkan.
- Duit raya tidak sesuai dianggap sedekah kerana ia merendahkan martabat orang yang menerimanya.
Saya lebih cenderung untuk menganggap duit raya sebagai hadiah kepada penerima, samada ia kepada kanak-kanak atau orang tua. Kanak-kanak sebagai tanda hadiah kejayaan mereka menempuh bulan Ramadan, adapun untuk orang tua pula sebagai hadiah penghargaan dan tanda ingatan kepada mereka atas sumbangan dan pengorbanan mereka selama ini dalam memacu bahtera kehidupan.
Jika duit raya dianggap sebagai sedekah, mengikut piawaian syariah, sedekah hanya layak kepada 8 asnaf yang dinyatakan dalam Al-Quran. Jadi kanak-kanak yang menerima itu boleh jadi tidak termasuk dalam piawaian asnaf itu, dalam masa yang sama kita telah meletakkan status penerima itu dalam status penerima sedekah. Sedangkan si bapa kepada anak itu pula memberikan duit raya kepada anak-anak kita.
Oleh itu, meletakkan niat sebagai hadiah itu lebih murni, menjaga hati dan perasaan orang lain, serta menggalakkan budaya berkongsi kegembiraan di dalam suasana hari raya. Ia juga bersesuaian dengan saranan Rasulullah SAW bahawa : “Tahaadu tahaabbu” iaitu “Salinglah memberi hadiah, agar kamu saling berkasih sayang”.
- Dalam menjalani adat dan budaya Melayu ini, tidak sepatutnya pula kita melangkaui garis syariat yang telah ditetapkan. Termasuklah di dalamnya menjaga air muka orang lain, dan tidak pula mewajibkan perkara-perkara harus atau sunat.
Jadi walaupun kita nyatakan ia digalakkan, tetapi ia perlu ditanggapi dalam suasana harmoni, tidak memberat-beratkan dan tidak bawa kepada masalah yang lain. Jika ia memberatkan, dan menyusahkan, maka ia menghilangkan tujuan hari raya itu sendiri iaitu bergembira dan berbahagia.
Justeru anak-anak perlu diajar untuk tidak meminta-minta kerana dikhuatiri akan menjatuhkan air muka orang lain, dan tidak pula membanding-bandingkan duit raya yang diterima daripada pihak-pihak yang lain.
Anak-anak perlu diajar untuk menerima hadiah seadanya, dan perlu difahamkan bahawa hari raya adalah hari untuk bersama menyambut kegembiraan, makan dan minum, menghubungkan silaturrahim dan bukanlah hari untuk mengumpul duit semata-mata.
Wallahua’lam bissawaab.
Ustaz Syamil Esa
Pengarah Sekretariat
Majlis Ulama ISMA (MUIS)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM