PUTRAJAYA, 19 Jun 2025 — Mahkamah Persekutuan Malaysia hari ini memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkaitan fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sah dan mengikut bidang kuasa undang-undang, tetapi hanya setakat ia terpakai kepada individu-individu Muslim dan bukan kepada pertubuhan atau syarikat.
Kes ini dibawa oleh SIS Forum (Malaysia) dan Zainah Mahfoozah Anwar selaku perayu, mencabar fatwa yang dikeluarkan pada 2014 oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bersama Majlis Agama Islam Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor selaku responden.
Fatwa tersebut menyatakan bahawa sesiapa yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama dianggap sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, dan menggesa mereka untuk bertaubat serta kembali ke jalan Islam. Fatwa turut mengandungi arahan supaya bahan-bahan berkaitan diharamkan dan laman sosial yang mempromosikan fahaman tersebut disekat.

Mahkamah dalam penghakiman majoriti yang dibacakan oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun binti Tuan Mat, memutuskan bahawa:
- Bahagian fatwa yang menyentuh individu Muslim adalah sah. Mahkamah menegaskan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mempunyai bidang kuasa penuh untuk mengeluarkan fatwa berkaitan akidah dan amalan individu yang menganut agama Islam, selaras dengan Butiran 1 Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
“Fatwa berkenaan individu Muslim yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat dan perlu bertaubat adalah dalam bidang kuasa sepenuhnya pihak berkuasa agama negeri,” kata mahkamah.
- Fatwa tidak boleh terpakai kepada syarikat atau pertubuhan. Mahkamah menegaskan bahawa istilah “persons professing the religion of Islam” dalam perlembagaan hanya merujuk kepada manusia (natural persons), bukan entiti perundangan seperti syarikat atau pertubuhan. Oleh itu, SIS Forum (Malaysia), sebagai sebuah syarikat berdaftar, tidak boleh dianggap sebagai entiti yang menganut agama Islam.
- Bahagian fatwa berkaitan penerbitan dan sekatan media sosial tidak sah. Mahkamah memutuskan bahawa arahan untuk mengharamkan bahan penerbitan dan menyekat laman sosial berada di bawah bidang kuasa agensi Persekutuan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri, yang mengawal Akta Mesin Cetak dan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Walau bagaimanapun, Mahkamah turut menegaskan bahawa tanggungjawab terhadap pelanggaran fatwa kekal terletak di atas bahu individu-individu Muslim yang menggerakkan sesebuah syarikat atau pertubuhan tersebut.
“Dalam konteks ini, individu-individu Muslim yang terlibat tetap tertakluk kepada kewajipan agama yang ditetapkan oleh fatwa,” kata mahkamah.
Mahkamah juga menegaskan bahawa mereka tidak membuat sebarang komen berhubung isi kandungan atau kebenaran hukum dalam fatwa tersebut, kerana ia kekal dalam bidang kuasa eksklusif Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Sokongan Terhadap Kuasa Jawatankuasa Fatwa Keputusan Mahkamah Persekutuan ini mengukuhkan kedudukan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sebagai badan berautoriti dalam menentukan perkara-perkara berkaitan aqidah dan akhlak orang Islam di negeri tersebut. Mahkamah mengiktiraf bahawa tanggungjawab menentukan kesesatan fahaman yang bercanggah dengan asas Islam adalah tugas eksklusif pihak berkuasa agama negeri.
Keputusan ini dilihat penting dalam mempertahankan kedudukan perundangan institusi fatwa di Malaysia, khususnya dalam menghadapi cabaran ideologi liberalisme dan pluralisme agama yang jelas menyeleweng daripada ajaran Islam menurut hukum syarak.
Dengan keputusan ini juga, Mahkamah menegaskan batas bidang kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan dalam soal pentadbiran agama dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan penerbitan serta komunikasi.
Keputusan ini dibuat oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun binti Tuan Mat, bersama Abang Iskandar bin Abang Hashim, Nallini Pathmanathan, Abu Bakar bin Jais, dan Abdul Karim bin Abdul Jalil.
-Indahnya Islam