Gaza Dibedil Lagi: 81 Terbunuh, Kebuluran Sengaja Dibiar Menjadi Senjata Perang

Gaza, Palestin – Serangan udara Israel sejak subuh tadi mengorbankan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin, di tengah-tengah kebuluran yang semakin parah akibat sekatan menyeluruh. Tentera Israel mengesahkan mereka telah memulakan fasa pertama serangan untuk menawan Bandar Gaza, pusat bandar terbesar wilayah itu yang kini menempatkan hampir sejuta penduduk dalam keadaan genting.

Kebuluran yang melanda semakin meragut nyawa – 269 orang termasuk 112 kanak-kanak mati akibat kelaparan sejak perang bermula. Malah pada Rabu lalu sahaja, tiga lagi dilaporkan mati kebuluran.

Darah & Kebuluran Bergandingan

Antara korban terbaru ialah Mohammed Shaalan, bekas pemain bola keranjang kebangsaan Palestin, yang ditembak mati ketika beratur untuk bantuan makanan. Sekurang-kurangnya 30 orang lagi yang mencari bantuan turut maut.

Pertubuhan Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran keras: “Ini bukan lagi kelaparan. Ini kebuluran.” Hampir satu daripada tiga kanak-kanak di Bandar Gaza kini mengalami kekurangan zat makanan, menurut UNRWA.

Kumpulan hak asasi Israel, Gisha, pula menegaskan Israel sengaja menggunakan kawalan bantuan sebagai “senjata perang sejak hari pertama”.

Krisis Bahan Api & Perpindahan Besar-Besaran

Pertahanan Awam Gaza pula mengaku banyak kenderaan mereka terhenti ketika misi menyelamat kerana kehabisan bahan api. “Kami berdepan cabaran kemanusiaan besar di tengah ancaman perang pemusnahan Israel,” tegas mereka.

Dalam masa sama, Israel mengumumkan bakal memanggil 60,000 anggota simpanan untuk operasi menawan Bandar Gaza. PBB memberi amaran tindakan ini akan mencetuskan gelombang perpindahan besar-besaran sekali lagi, menambahkan penderitaan rakyat yang telah diusir berulang kali.

Seruan & Pengkhianatan

Keluarga tawanan Israel mengecam kerajaan Netanyahu kerana menolak cadangan gencatan senjata yang dipersetujui Hamas, menyifatkannya “tikaman ke hati keluarga sendiri”. Hamas pula menuduh Israel sengaja melanjutkan “perang kejam terhadap orang awam tidak berdosa”.

Cadangan gencatan terbaru yang dimediasi Mesir dan Qatar merangkumi 60 hari gencatan senjata, pertukaran tawanan & pembesaran laluan bantuan. Namun Netanyahu berkeras semua tawanan mesti dibebaskan sekaligus mengikut syarat Israel – syarat yang dikritik ramai sebagai alasan untuk meneruskan serangan.

Dunia Terus Membisu?

“Apa yang berlaku di Gaza adalah realiti kiamat untuk kanak-kanak dan generasi mereka,” kata Ahmed Alhendawi dari Save the Children.

Penganalisis politik Al Jazeera, Marwan Bishara, memberi amaran: tanpa tekanan Arab terhadap Washington, Israel akan memilih untuk terus mara dan melakukan pembersihan etnik.

Sehingga kini, lebih 62,122 rakyat Palestin terbunuh sejak perang bermula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Sumber : Qudsnews

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts