home Semasa Gaza diserang lagi! Jet pejuang Israel lancar peluru berpandu

Gaza diserang lagi! Jet pejuang Israel lancar peluru berpandu

 

GAZA– Jet pejuang negara haram Israel melancarkan beberapa serangan udara di Semenanjung Gaza untuk kali kedua sejak gencatan senjata mengakhiri perang 11 hari bulan lalu.

Sumber-sumber Palestin di lapangan berkata, peluru berpandu rejim Zionis pada Khamis menyerang beberapa lokasi milik kumpulan bersenjata di barat laut Bandar Gaza dan utara Beit Lahia di wilayah yang terkepung.

Sebuah bangunan pentadbiran awam di sebelah timur Jabaliya di utara juga menjadi sasaran, selain sebuah ladang pertanian di sebelah timur bandar Khan Younis.

Meskipun begitu, tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.

Berikutan serangan udara tersebut, jurucakap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Fawzi Barhoum berkata, pengeboman pendudukan adalah pertunjukan demonstrasi oleh kerajaan pengganas Israel yang baharu.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pentadbiran yang disetujui pada Ahad oleh Parlimen Israel, dengan nasionalis sayap kanan Naftali Bennett mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

“Rintangan itu akan diperhatikan bagi membela rakyat, orang kami dan kawasan suci,” katanya dalam satu kenyataan.

TV Al Aqsa milik Hamas melaporkan dron Israel jatuh di barat Bandar Gaza.

Media Israel melaporkan bahawa tentera menyerang sasaran Hamas di Semenanjung Gaza sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api oleh aktivis di wilayah itu.

Dalam satu kenyataan, tentera berkata, mereka akan terus memusnahkan kemampuan dan struktur ketenteraan Hamas serta menjadikannya bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku di Semenanjung Gaza.

Rabu lalu, rejim Zionis turut melakukan serangan udara yang menyasarkan fasiliti Hamas.

Sekurang-kurangnya 257 rakyat Palestin, termasuk 66 kanak-kanak, terbunuh dalam pengeboman 11 hari di Semenanjung Gaza bulan lalu.

Di pihak Israel, 13 penduduk termasuk dua kanak-kanak terbunuh oleh roket yang ditembak dari Gaza. – Agensi

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

text gambar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *