Hamas serah kawalan, pentadbiran pintu sempadan kepada PA

 

SEMENANJUNG GAZA – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) secara rasmi menyerahkan kawalan pentadbiran di lima pintu sempadan di Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah, hari ini.

Penyerahan kawalan pentadbiran itu adalah yang pertama lebih sedekad dan sebahagian daripada perjanjian damai antara Hamas dan PA yang dipersetujui di Kaherah, 12 Oktober lalu.

Jurucakap Fatah, Osama Qawasmeh berkata, tiada syarat dikenakan antara kedua-dua pihak ketika penyerahan itu.

“Perkara itu hanyalah pemulihan semula status quo PA, sebagaimana yang berlaku sebelum perpecahan kuasa 2007,” katanya merujuk kepada perpecahan politik yang berakhir dengan Hamas mengambil alih Semenanjung Gaza selepas percubaan rampasan kuasa oleh orang kuat Fatah yang disokong Amerika Syarikat (AS), Mohammad Dahlan.

Berikutan penyerahan kuasa itu, PA akan mentadbir tiga lintasan kargo, termasuk di Karam Abu Salem bersempadan dengan Mesir, selain di Rafah dan Beit Hanoun.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Hal Ehwal Awam PA, Hussein al-Sheikh berkata, kerajaan perpaduan sedang membuat persediaan untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Mesir, supaya pintu sempadan Rafah dapat beroperasi sepenuhnya 15 November ini.

Rafah, pintu sempadan utama di selatan Semenanjung Gaza, ditutup kepada komuniti Palestin Gaza sejak Hamas mengambil alih pentadbiran di wilayah itu.

Pintu sempadan Karam Abu Salem pula terletak di Erez, di utara Semenanjung Gaza dan ditadbir oleh Israel. PA juga akan bertanggungjawab terhadap tiga lintasan sempadan bagi kargo di Karni, Karem Abu Salem dan Sufa.

Osama berkata, penutupan pintu sempadan itu sebelum ini disebabkan ketiadaan ‘kerajaan yang sah’ untuk mentadbirnya dan kini ia akan kembali seperti biasa.

“Penyerahan kawalan di pintu sempadan hanya sebagai protokol. Keputusan besar ialah langkah positif Hamas menyerahkan semua kuasa kepada kerajaan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata, penyerahan pentadbiran pintu sempadan itu akan memudahkan dan memberi keselesaan kepada warga Palestin di Gaza.

“Tidak dapat dinafikan langkah ini akan membantu kehidupan orang ramai yang melakukan perjalanan di luar Semenanjung Gaza atas sebab apa pun, seperti mendapatkan rawatan perubatan, mendapatkan biasiswa di universiti, dan lawatan biasa.

“Pergerakan barangan juga akan dipermudah, lebih cepat dan akan membantu sektor import dan eksport,” katanya.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassem pula berkata, pergerakan itu berharap penyerahan kuasa pentadbiran itu akan meningkatkan kualiti hidup warga Palestin di Semenanjung Gaza.

Beliau menegaskan bahawa penyerahan kawalan itu bukannya isu keselamatan, tetapi hanya dari segi logistik.

Bagaimanapun, Pengarah Program Rangkaian Polisi Palestin Al-Shabaka, Alaa Tartir berkata, pemindahan pentadbiran dan kawalan di sempadan tidak boleh diterjemahkan kepada perdamaian dan perpaduan negara.

“Mengandaikan bahawa pertukaran kakitangan di pintu sempadan akan menyebabkan pengepungan ke atas Gaza berakhir, adalah naif dan berbahaya.

“Ia sebenarnya satu ujian untuk mengkaji kerapuhan atau ketahanan perjanjian perdamaian yang dibuat kedua-dua pihak, baru-baru ini. Adalah penting untuk mengakui bahawa Israel, sebagai kuasa yang menceroboh, akan kekal sebagai pihak yang berkuasa ke atas sempadan.

“Ini hanya akan berubah apabila pendudukan Israel berakhir. Perbalahan Hamas dan Fatah mengenai siapa yang akan menguruskan sempadan, hanyalah pertarungan mengenai siapa yang akan memerintah penjara mega itu,” katanya yang merujuk Semenanjung Gaza yang dikepung oleh rejim Zionis sebagai ‘penjara mega’.

Sejak Hamas mengambil alih pentadbiran Semenanjung Gaza pada 2007, Israel menguatkuasakan sekatan ke atas ruang udara, laut dan darat di semenanjung yang berkeluasan 51 kilometer panjang dan 11 kilometer lebar.

Awal tahun ini, PA memberi tekanan kepada pentadbiran Hamas dengan meminta Israel memotong bekalan elektrik ke Gaza.

Pusingan selanjutnya rundingan damai akan diadakan di Kaherah pada 21 November ini.

Hazem dan Osama berkata, perbincangan itu akan memfokuskan isu-isu berkaitan logistik, pentadbiran dan keselamatan di Semenanjung Gaza. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts