Hari Asyura: Rebutlah kebaikkannya!

10593067_1162395237107904_307128559066907000_n

HARI ASYURA : REBUTLAH KEBAIKKANNYA!

Selamat datang tahun baru! Semoga dengan hadirnya tahun 1437H ke dalam hidup kita,ia akan memberi nafas baru untuk meraih keampunan daripadaNya serta berusaha sehabis mungkin untuk menambah bekal ke akhirat. Tidak dilupakan juga, muhasabah tahun baru di mana umur semakin hari semakin berkurang dan pada bila-bila masa sahaja kita bakal dijemput Tuhan.

Semoga hijrah dan perubahan yang bakal dilakukan akan memberi kebaikan dunia dan akhirat. Teringat kata-kata Doktor Said Bawai’neh ketika kuliah Manahij Muhadisthin, yang mana beliau berpesan agar perubahan dan azam tahun baru ini kita letakkan untuk taat dan mencari redha Allah semata-mata, buang dan cabutlah segala hal keduniaan daripada hati kita.

Muharram merupakan bulan pertama di dalam taqwim Islam. Dipilih sebagai bulan pertama kerana umat Islam baru sahaja selesai melaksanakan haji dan mereka masih lagi dalam keadaan bersemangat dan berazam untuk berubah dan menjadi lebih baik. Manakala hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah dipilih sebagai permulaan tahun Islam. Kewujudan taqwim Hijrah ini adalah rentetan daripada Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zaman Umar Al-Khattab. Pada bulan Muharram ini terjadi begitu banyak peristiwa penting serta wujud beberapa kelebihan yang bakal mengembirakan hati orang-orang mukmin.

Di dalam bulan Muharram juga terdapat hari yang sangat bermakna untuk seluruh umat Islam iaitu pada hari kesepuluh Muharram, atau lebih dikenali sebagai hari Asyura. Hari Asyura menjadi bukti keterikatan aqidah yang dirasai oleh umat Islam yang tidak hanya terhad kepada zaman, masa atau kaum tertentu sahaja. Keterikatannya dirasai sepanjang masa. Merentasi zaman, bermula sejak zaman Nabi Adam sehinggalah ke hari ini. Ini kerana, masdar kepada keterikatannya itu satu, tidak lain dan tidak bukan segalanya datang daripada Allah swt. Seperti mana Nabi Musa telah berpuasa pada hari kemenangannya ke atas Firaun dan bala tenteranya sebagai tanda terima kasihnya kepada Allah pada hari Asyura, begitulah umat Islam pada hari ini turut sama-sama meraikan kemenangan Nabi Musa dengan berpuasa pada hari tersebut. Malahah, Nabi Muhammad juga berpuasa pada hari kesepuluh Muharram ini dan menyuruh umat Islam agar turut sama berpuasa. Dan tidak akan hilang golongan yang sentiasa berwasiat kepada kebaikan dan mengharapkan keberkatan serta keampunan Allah pada bulan ini umumya dan pada hari Asyura khususnya.

Memperbanyak Puasa Sunat

Daripada Abi Hurairah r.a telah berkata : Sabda Rasulullah saw, “Puasa yang paling utama setelah bulan Ramadhan adalah puasa di bulan Allah Muharram.” (hadis Riwayat Muslim)

Sabda Nabi, sandaran bulan kepada Allah menunjukkan kepada kebesaran dan keagungan bulan tersebut. Daripada segi zahirnya ia bermaksud keseluruhan bulan Muharram, tetapi telah thabit kepada kita bahawa Nabi saw tidak berpuasa sebulan penuh pada bulan Muharram ini seperti mana puasa bulan Ramadhan. Hadis ini membawa maksud galakan memperbanyakkan puasa pada bulan ini dan bukannya berpuasa pada keseluruhan bulan.

Sungguh bulan Muharram merupakan bulan yang sangat dimuliakan oleh Allah swt seperti mana yang dinyatakan hadis di atas, terkhusus pada hari kesepuluh dari bulan itu. Pada hari Asyura ini ia mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Sejarah yang cukup agung. Hari dimana Musa ibn Imran telah menjalankan dakwahnya kepada Firaun agar kembali menyembah dan mengesakan Allah yang satu. Namun, disebabkan keangkuhannya menolak seruan Nabi Musa, akhirnya Firaun dan bala tenteranya telah ditenggelamkan oleh Allah. Sebagai tanda terima kasih kepada Allah, Nabi Musa telah berpuasa.

Galakan berpuasa pada hari Asyura

Berpuasa pada hari ini adalah amalan Nabi Muhammad saw dan para sahabat. Sehinggakan anak-anak kecil juga dididik untuk berpuasa pada hari ini. Ar Rabi’ binti Muawwiz berkata:

“ Kami berpuasa Asyura selepas itu dan mendidikkan anak-anak kami berpuasa Asyura. Kami mereka mainan buat mereka. Apabila ada dalam kalangan mereka yang menangis meminta makanan, kami lekakan mereka dengan mainan itu sehingga tiba waktu berbuka “ (Hadis RIwayat Bukhari)

Dari kecil sudah dididik dan peristiwa diatas menunjukkan kepada peri pentingnya hari Asyura ini. Amat malang dan malu sekali jika kita bermalas-malasan untuk berpuasa serta memandang enteng terhadap kelebihan yang tersedia di dalamnya.

Selisihilah Yahudi

“ Berpuasalah kamu pada hari ‘Asyura, dan bezalah dengan (puasa) Yahudi, (oleh itu) berpuasalah (juga) sehari sebelumnya dan sehari sesudahnya” (Dikeluarkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya)

“Berpuasalah kamu pada hari yang kesembilan dan hari yang kesepuluh, dan bezakanlah dengan (puasa) Yahudi” (daripada Ibnu Abbas r.a)

Ibn al-Qayyim al Jauzi di dalam Zadul Maad berpendapat:

Puasa Asyura ada tiga darjat:
1) Berpuasa 9,10 dan 11 Muharram. Ini merupakan puasa yang paling sempurna
2) Berpuasa 9 dan 10 Muharram. Ini yang paling banyak disebut di dalam hadis
3) Berpuasa 10 Muharram sahaja

Diampunkan dosa setahun lalu

Sungguh akan bergembiralah orang yang menjalankan ibadah puasa pada hari ini apabila datang sebuah hadis dari Abu Qatadah , tatkala ada seorang yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai Hari Asyura, maka baginda bersabda:

“ Sesungguhnya aku mengharap ganjaran daripada Allah supaya menggugurkan kesalahan (orang yang berpuasa Asyura) setahun sebelumnya” (Hadis Riwayat Muslim)

Maksud dengan ‘Menggugurkan dosa’ pada hadis di atas adalah gugurnya dosa-dosa kecil. Adapun dosa-dosa besar, maka akan gugur dengan air mata taubat, ikhlas mengharapkan keampunan daripadaNya semata.

Hanya dengan berpuasa satu hari dapat menggugurkan dosa yang pernah ia lakukan pada satu tahun yang lalu. Inilah kemuliaan yang telah disediakan oleh Allah pada hari Asyura menunjukkan betapa luasnya kasih sayang Allah kepada seluruh hambaNya. Kemuliaan ini mampu saja digapai oleh semua orang. Asalkan kita berkehendak kepadanya.

Semoga Allah mengampuni dosa dan kesilapan, kesalahan serta kelalaian yang telah kita lakukan. Semoga Allah mudahkan anggota badan kita untuk berpuasa pada Hari Asyura yang bakal hadir tidak lama lagi. Datangnya hanya sekali seumur hidup, layanilah ia dengan sebaik mungkin. Taqaballahu Minna wa Minkum Taqabal Yaa Karim.

Nur Aimie Nadia bt Mohd Sauji
Tahun 4, Usuluddin
Universiti Yarmouk, Jordan

Sumber: http://www.ismajordan.net/2015/10/23/hari-asyura-rebutlah-kebaikannya/

Total
0
Shares
1 comment
  1. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Gaffar Ya Ghaffur Ya Afuww Ya Tawwab….ampunillah dosa-dosaku ini dan jauhilah aku dari azab api neraka….amin

Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts