Perkasa lelaki Qawwam jadi pelindung, pembimbing keluarga

KUALA LUMPUR: Kerapuhan institusi kekeluargaan hari ini sehingga menyumbang kepada masalah sosial menuntut supaya pendekatan lelaki Qawwam (bertanggungjawab) diperkasakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata tiba masanya tumpuan khusus diberikan kepada program pembinaan jati diri dan kualiti lelaki Qawwam dengan memperkasa mereka sebagai pemimpin, pelindung dan pembela kepada wanita, ahli keluarga dan masyarakat.

“Mutakhir ini, kejadian jenayah termasuk bunuh dalam kalangan ahli keluarga sendiri amat mendukacita dan membimbangkan. Kerapuhan institusi kekeluargaan menjadi salah satu penyumbang kepada masalah sosial hari ini.

“Pendidikan anak terabai apabila ibu bapa sering bergaduh dan lebih parah ada ayah yang mendera dan memukul fizikal isteri dan anak-anak. Ini adalah realiti yang selalu kita baca dalam laporan akhbar.

“Persoalannya, apakah benar dakwaan golongan lelaki hari ini sudah hilang sifat Qawwamnya? atau golongan lelaki hari ini sudah tidak berkualiti lagi? Namun saya amat yakin, impian untuk meramaikan lelaki Qawwam yang didambakan sebagaimana panduan daripada al-Quran dan al-Hadis masih dapat kita sama-sama realisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan 2022 bertema ‘Lelaki Dambaan Syurga’ di sini semalam.

Qawwam berasal daripada perkataan ‘Qaim’ yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peranan lelaki amat penting bagi memastikan keharmonian, kesejahteraan dan hala tuju keluarga dalam mencapai matlamat hidup yang sempurna dan bahagia.

“Lelaki dianggap sebagai pemimpin, hakim dan pendidik kepada golongan wanita. Malah pada masa yang sama, golongan lelaki diangggap lebih utama kerana tugas kenabian itu dikhususkan kepada lelaki.

“Jelaslah kepada kita bahawa tanggungjawab yang digalas lelaki amat berat dan besar dalam menentukan kestabilan institusi kekeluargaan yang secara tidak langsung akan membawa kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, prinsip Islam itu meletakkan kedudukan golongan lelaki dan wanita sesuai pada posisi dan peranannya yang tersendiri dan saling melengkapi di antara satu sama lain.

“Sesungguhnya, apabila tanggungjawab lelaki khususya golongan suami diperkasakan, maka kaum isteri akan menikmati natijah kebahagiaan yang akan terbentuklah keluarga harmoni seterusnya menyumbang kepada masyarakat dan negara yang sejahtera,” katanya.

Beliau berkata, seminar hari ini adalah antara model program dan pengisian yang boleh dilaksana dan diperluas ke institusi masjid dan surau termasuk di negeri-negeri.

“Inisiatif lelaki Qawwam ini diwujudkan bagi mengukuhkan pemerkasaan tanggungjawab dan peranan golongan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pembela kepada wanita, ahli keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

“Penting untuk kita terus sama-sama berganding bahu dalam menjayakan inisiatif ini sekali gus memberi kesedaran kepada golongan lelaki untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan memperkasa peranan mereka,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts