Hijrah diri dan pembinaan negara

zmri

 

Menurut Al-Asfahani dalam Gharib al Quran, hijrah dari sudut bahasa ialah berpisah dari seseorang samada secara fizikal, lisan mahupun hati. Menurut kamus dewan edisi keempat hijrah bermaksud perpindahan Nabi Muhammad SAW dari  Mekah ke Madinah; ia juga membawa makna berpindah, meninggalkan sesuatu tempat untuk pergi ke tempat lain.

Sebagaimana peristiwa hijrah Rasulullah SAW telah membawa perubahan besar kepada lanskap perjalanan susur galur Islam dan umatnya , begitu juga hijrah individu juga sepatutnya membawa perubahan besar dalam kehidupan kita semua.

Hijrah yang kita maksudkan di sini ialah hijrah kepada sesuatu yang lebih baik dan positif. Pencapaian paling gemilang dari peristiwa hijrah Rasulullah SAW ialah tertegaknya sebuah negara Islam menyebabkan seluruh ajaran Islam dapat dibuktikan bahawa Islam adalah cara hidup dari sekecil-kecil perkara yang bersifat amalan-amalan individu sehinggalah kepada hidup bernegara.

Negara Islam Madinah pula ditadbir dan dibangunkan oleh manusia-manusia yang telah dibangunkan terlebih awal iman, dan amal dikalangan muhajirin dan disambut dengan ukhuwwah erat dari kalangan ansar.

Manusia-manusia hebat ini sudah tentu telah melakukan hijrah-hijrah diri dan perubahan-perubahan diri yang hebat. Itu gabungan formula hebat peristiwa hijrah. Tergabung antara hijrah diri dan hijrah membentuk sebuah negara.

Mengambil iktibar dari peristiwa hijrah, jangan sesekali kita pisahkan antara penghijrahan diri kita kepada yang lebih baik dengan usaha kita membina sebuah negara seperti yang dikehendaki oleh Allah iaitu negara yang patuh segala peraturan Allah SWT.

Nabi SAW telah membina peribadi-peribadi yang kukuh aqidahnya selama 13 tahun sebelum berhijrah ke Madinah di samping menghantar Mus’ab bin Umair sebagai utusan awal membina peribadi-peribadi yang sanggup mempertahankan aqidah di dalam negeri Madinah sendiri. Mereka ini akhirnya yang menjadi sendi kekuatan negara Islam Madinah. Peribadi-peribadi yang soleh sangat penting di dalam sebuah negara yang soleh.

Dalam konteks negara Malaysia yang sama-sama kita cintai ini, semua orang Islam wajib mengimpikan ia menjadi sebuah negara seperti negara Islam Madinah, sebuah negara harmoni, aman damai, dibangunkan dan dipertahankan bersama-sama, menjadi tempat tertumpahkan taat setia seluruh rakyat samada muslim ataupun bukan muslim, semua pihak tidak dipinggirkan haknya dan semua rakyat menjunjung keluhuran undang-undang sepertimana penduduk Madinah menjunjung Piagam Madinah.

Dan mana-mana pihak yang mencabul undang-undang berhak untuk mendapat hukuman seperti mana Nabi SAW telah menghukum beberapa kelompok Yahudi kerana mencabuli piagam Madinah. Daripada impian inilah sepatutnya bermula segala usaha untuk merealisasikannya. Banyak peristiwa yang berlaku bermula dari impian yang memulakannya.

Antara fahaman yang perlu untuk diluruskan ialah apabila seseorang itu telah melakukan penghijrahan diri yang lebih baik, ia merasakan sudah mencapai klimaks dalam hidup beragama sedangkan perjuangan membina negara yang akan membuktikan kepada dunia bahawa jika sistem Islam diberi untuk mengendalikan urusan kehidupan negara nescara semua rakyat negara ini akan menikmati keadilannya masih panjang dan berliku-liku.

Memang benar penghijrahan diri itu dituntut namun ia hanya akan sempurna bila sampai ke peringkat syariat dapat dilaksanakan secara sempurna dalam negara ini. Fenomena peribadi-peribadi “soleh” tetapi tidak menghiraukan apa yang bakal berlaku kepada Islam dan umatnya di negara ini adalah gambaran pemahaman yang perlu diluruskan.

Bagaimana lelaki-lelaki soleh yang berada di saf paling hadapan diikuti dengan saf-saf solat yang tertib dan kemas ketika  menunaikan solat di masjid begitulah juga sepatutnya para jemaah menjadi panglima baris hadapan dan diikuti solidariti kemas sesama muslim apabila menghadapi cabaran-cabaran yang menyentuh Islam dan umat Islam di negara ini khususnya samada ada dalam bentuk penerangan berkenaan Islam yang sebenarnya, menjelaskan sebarang kekeliruan berkaitan Islam dan mempertahankan Islam di negara ini.

Gunakanlah semua usaha yang dibenarkan oleh syarak , juga perundangan negara untuk kita mendaulatkan Islam dalam negara ini sebagai mengambil semangat hijrah Rasulillah SAW menghijrah peribadi para pendokong Islam yang terawal kepada peribadi hebat sebagai persediaan membina sebuah negara Islam yang hebat.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts