Hospital swasta diseru sertai program Hospital Mesra Ibadah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan terus menggalakkan penyertaan hospital swasta dalam program Hospital Mesra Ibadah (HMI) yang penyertaannya agak kurang ketika ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, setakat ini pembabitan hanya bersifat secara sukarela kerana kerajaan tidak mahu memberikan beban kepada operator swasta.

“Jika boleh, saya teruja mahu lihat kesemua hospital swasta di Malaysia terima akreditasi MHI daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen HMI Tahun 2022 yang julung kali dianjurkan dengan tema ‘Pemerkasaan Melalui Penjagaan Spiritual’ di Kompleks Islam Putrajaya, di sini semalam.

Beliau turut menyampaikan sijil pengiktirafan HMI kepada 10 buah hospital di bawah kementerian tersebut yang disaksikan sendiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff.

Idea HMI dicetuskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 2014 setelah mulanya diperkenalkan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan pada 2004.

Sehingga hujung tahun lalu, terdapat 209 buah hospital swasta di seluruh Malaysia yang memiliki lesen sah beroperasi di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan 1998

Paling banyak di Selangor dengan 57 buah diikuti Kuala Lumpur sebanyak 36 buah dan Pulau Pinang pula 18 buah, tetapi bukan kesemua premis tersebut memenuhi kriteria sebagai HMI.

Ia mulanya dipelopori oleh Hospital Pakar Al-Islam di ibu negara pada 2006 lalu sebelum dicontohi beberapa operator swasta lain yang sudah mengaplikasikan kaedah hospital patuh syariah.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, sebagai usaha menambah lebih banyak hospital swasta yang ditauliahkan HMI, kriteria piawaian seragam akan diwujudkan Jabatan Standard Malaysia.

“Apabila siap kelak, standard yang diselaraskan ini akan jadi model HMI kepada seluruh dunia kerana ia agak berbeza daripada konsep kelaziman disebut hospital patuh syariah,” ujarnya.

Kriteria jenis itu sudah pun diwujudkan oleh SIRIM Berhad dengan operator yang berjaya akan menerima kod khas MS 1900: 2014.

Antara menerima tauliah itu ialah Hospital Tentera di Terendak, Melaka; Hospital Pakar An-Nur di Bangi, Selangor dan Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, HMI pula lebih kepada pendekatan bio-psiko-sosial-spiritual yang menawarkan perkhidmatan bersifat holistik dengan pengauditan Jakim yang amat ketat setiap tiga tahun.

Justeru, beliau berharap pihak Kementerian Kewangan akan dapat memberikan peruntukan lebih kepada semua 146 hospital awam bagi membolehkan HMI dilaksanakan lebih menyeluruh.

Noor Azmi memberi contoh ketika ini, hanya 55 hospital kerajaan ditempatkan pegawai Jakim kerana kekangan dana walhal pesakit memerlukan perkhidmatan kerohanian diterapkan HMI.

Situasi itu dibimbangi boleh merugikan umat Islam ketika menerima rawatan di hospital kerana pendekatan HMI terbukti berjaya membimbing pesakit untuk lebih bertaqwa kepada Allah.  -UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts