Hukum inai yang diragui

Adakah pemakaian inai boleh menghalang air untuk sampai ke anggota wuduk atau mandi wajib?

Inai atau nama saintifiknya ‘Lawsonia Inermis’ berasal daripada perkataan Arab iaitu “Henna” yang bermaksud ubat. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Baru, inai ialah sejenis tumbuhan (pokok kecil yang daunnya digunakan sebagai bahan pemerah kuku dan jari serta rambut).

Namun begitu, dewasa ini kebanyakan pengeluar produk inai menggunakan bahan campuran dalam menghasilkan produk inai dan di datangkan dalam pelbagai jenis misalnya inai picit, inai celup dan lain-lain.

Sebahagian pengeluar produk inai mengiktiraf bahawa produk mereka merupakan produk yang halal.

Walau bagaimanapun, harus di fahami bahawa status kehalalan sesuatu produk itu bergantung kepada ramuan yang terkandung di dalamnya. Ia mestilah bersumberkan bahan-bahan halal, bebas kimia, bebas lemak khinzir dan bebas daripada bahan-bahan lain yang tidak halal menurut neraca hukum syarak.

Adapun untuk menentukan pemakaian inai ini boleh dibawa solat atau dihukumkan sah ibadahnya, ia perlu dirujuk kepada jenis inai yang digunakan, sama ada ia bersifat kalis atau telap kepada air.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya yang mana ia menghalang ke anggota, maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ia tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan), maka sah taharahnya. [Lihat: al-Majmu’ jilid 1, hlm. 467]

Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi dalam fatwanya berkaitan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk, beliau ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. [Lihat: Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 198]

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkaitan produk inai celup, iaitu pada menentukan kekalisan atau ketelapan air. Dalam hal ini hendaklah terlebih dahulu dilakukan ujian ke atas produk tersebut. Namun begitu, adalah disarankan jika sekiranya masih lagi wujud keraguan pada status kekalisan air pada produk tersebut adalah lebih baik dirujuk secara langsung kepada pihak Halal JAKIM.

Walau bagaimanapun, bersandarkan kepada perbincangan dan hujahan di atas, dapat disimpulkan; sekiranya di yakini bahawa setelah pemakaian produk inai yang di maksudkan dan ia masih meninggalkan kesan berserta zatnya (selaput) pada mana-mana anggota wuduk dan mandi wajib khususnya kuku, maka dapatlah difahami bahawa sifat produk tersebut adalah kalis air. Iaitu ia menyebabkan air tidak dapat menyentuh atau menghalangi air daripada sampai kepada anggota yang wajib dibasuh. Justeru, tidak sah taharahnya sama ada wuduk atau mandi wajib.

-Fb Ustazah Asma’ Harun-

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts