Hukum qadha’ puasa Ramadan bersekali dengan puasa 6 Syawal

98Fadhilah Keutamaan Puasa Asyura 10 dan 9 Muharram

Mukaddimah

Alhamdulillah, kita baru selesai melaksanakan ibadat puasa Ramadan dengan jayanya. Semoga Allah kurniakan kepada kita penerimaan segala ibadat yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan sama ada yang wajib mahupun yang sunat. Dengan menjelmanya Syawal, disamping kita berhari raya dengan penuh kesyukuran, kita juga digalakkan untuk melaksanakan puasa enam Syawal. Ini kerana ia mempunyai banyak kelebihan. Dalam Irsyad Fatwa kali ini, banyak persoalan yang ditimbulkan berkenaan dengan Hukum Qadha’ Puasa Ramadan Bersekali Dengan Puasa 6 Syawal. Justeru, Irsyad Fatwa pada kali ini akan menjawab persoalan berkaitan dengan isu ini. Semoga kita semua menjadi hamba-hamba Allah yang bertakwa dan cintakan amalan soleh.

Kelebihan Puasa Enam

            Terdapat hadis yang menunjukkan kelebihan puasa enam. Antaranya:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ اَتْبَعَهُ سِتَّا مِنْ شَوَّالٍ فَكَأَنَّمَا صَامَ الدَّهْرَ

Maksudnya: “Sesiapa yang puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.”

Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Turmuzi, Al-Nasaie, Ibn Majah, Ahmad dan lain-lain. Imam al-Turmuzi berkata hadis hassan.

Ini menunjukkan bahawa maksud puasa Ramadan seolah-olah setiap hari mewakili 10 hari. Justeru, ditambah dengan enam hari Syawal, maka jadilah ia 360 hari. Itulah tafsiran sebahagian ulama.

Hukum Puasa Qada’ Beserta Dengan Puasa Sunat Syawal

Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:.

PERTAMA: SAH

  • Hukumnya sah dan terjadi kepada kedua-duanya, iaitu qada’ dan sunat. Inilah pendapat:
  • Imam Ibn Hajar al-Haitami
  • Syeikh Muhammad Ramli. Lihat al-Nihayah (1/162) dan juga Fatawa al-Ramli (2/339)
  • Imam al-Barizi. Lihat al-Ashfah wa al-Nazhair (1/161)
  • Syeikhul Islam Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Haasyiah al-Syarqawi ala al-Tahrir (1/427)
  • Inilah juga pendapat kebanyakan ulama mutakhirin

 KEDUA: TIDAK SAH

  • Tidak sah tetapi terhasil yang fardhu sahaja iaitu puasa qada’ tidak kepada puasa sunat Syawal. Inilah pendapat:
  • Imam al-Asnawi
  • Syeikh Ibn al-Solah
  • Abu Makhramah
  • Lihat Bughiah al-Mustarsyidin (3/95-96)

Hujah mereka tidak boleh tasyrik atau sekutukan dua jenis ibadah dalam satu ibadah.

Tarjih

Setelah meneliti dua hujah, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat. Ini juga pendapat sebahagian ulama berdasarkan pengamatan kepada beberapa nas. Walaupun begitu, yang terbaiknya adalah memisahkan antara qada’ puasa dengan puasa enam Syawal untuk keluar daripada khilaf.

Imam Ibn Hajar menggunakan bahasa dengan katanya terhasil asal pahala tetapi bukan dalam bentuk sempurnanya jika ia berniat untuk kedua-duanya (niat qada Ramadan dan sunat Syawal). Lihat al-Tuhfah(3/390).

Semoga dengan penjelasan ini, akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan isu puasa qada’ dan puasa enam Syawal. Sekian.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan-s/irsyad-fatwa/402-irsyad-fatwa-ke-43-hukum-qadha-puasa-ramadan-bersekali-dengan-puasa-6-syawal

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts