BANGI, 10 JAMADILAKHIR – Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa agar siasatan menyeluruh dijalankan bagi mengesahkan dakwaan perlakuan sumbang membabitkan warga guru yang ditahan dalam operasi bersepadu pihak berkuasa di sebuah premis sauna di ibu negara, yang dikaitkan dengan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai pendidikan yang terbabit.
Katanya, aktiviti songsang LGBT tidak wajar dinormalisasikan dalam kalangan warga guru kerana ia bercanggah dengan nilai dan budaya ketimuran, selain bertentangan dengan prinsip agama dan moral masyarakat.
“Tingkah laku penjawat awam, khususnya warga guru, perlu dijaga supaya integriti dan kredibiliti sebagai kakitangan KPM terpelihara dan profesion keguruan tidak tercemar.
“Perkara sebegini tidak boleh dipandang ringan, dan KPM wajib mengambil tindakan tatatertib tegas terhadap guru-guru yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Dalam Ops Songsang yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Chow Kit pada Jumaat lalu, seramai 201 pengunjung ditahan dalam serbuan ke atas sebuah gimnasium dan sauna dua tingkat yang dijadikan tempat aktiviti lelaki gay.
Antara yang ditahan ialah 17 penjawat awam, termasuk guru, doktor, timbalan pendakwa raya, pegawai tadbir dan diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Mohd Azizee juga menegaskan agar guru sentiasa menjaga tingkah laku dan mematuhi akujanji sebagai penjawat awam serta etika profesion sebagai guru yang dihormati masyarakat.
Katanya, i-Guru komited untuk terus bekerjasama dan menyokong KPM dalam usaha mengekang budaya negatif di institusi pendidikan, serta memastikan profesion perguruan kekal disanjung tinggi, berintegriti dan bermaruah.
Sumber: Ikatan Guru Muslim Malaysia
📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam








