Ikrar kita dalam surah Al-Fatihah

  1. Sedar atau tidak, dalam solat, kita sentiasa memohon kepada Allah agar dibimbing ke jalan yang lurus, bukan jalan orang yang dimurkai dan bukan jalan orang-orang yang sesat.
  2. Namun tahukah kita siapakah dia orang yang dimurkai dan orang yang sesat itu? Menurut Saidina Abdullah bin Abbas, golongan yang dimurkai itu adalah Yahudi dan golongan yang sesat itu adalah Nasrani. (Tafsir Ibn Kathir)
  3. al-Imam Ibn Kathir menjelaskan lagi bahawa kedua-dua kaum Yahudi dan Nasrani sememangnya merupakan kaum yang dimurkai dan sesat, namun Allah mengkhususkan bagi setiap kaum, sifat mereka tersendiri. Yahudi disifatkan sebagai kaum yang dimurkai berdasarkan ayat al-Quran:

مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمُ ٱلْقِرَدَةَ وَٱلْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّٰغُوتَ

“Iaitu orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut.” (Surah al-Maidah: 60)

  1. Manakala golongan Nasrani pula disifatkan oleh Allah Taala dalam al-Quran sebagai kaum yang sesat dalam firmanNya:

وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهْوَآءَ قَوْمٍۢ قَدْ ضَلُّواْ مِن قَبْلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرًا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ

“Dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul” (Surah al-Maidah: 77)

  1. Jelas di sini bahawa dalam ikrar harian kita dalam solat, kita memohon kepada Allah agar dijauhkan dari mengikuti jalan kaum Yahudi dan Nasrani. Namun, dalam kehidupan kita, terkadang kita tidak sedar adakalanya kita lebih mengutamakan apa yang dibawa oleh pemikir Barat, Yahudi dan Nasrani mengatasi apa yang dibawa oleh al-Quran.
  2. Malah apa yang lebih menyedihkan, kita menyangkakan pendekatan yang dibawa oleh barat dalam pelbagai corak pemikiran seperti liberalisme dan sekularisme itu adalah lebih baik dari al-Quran dan menuduh al-Quran terikat dengan masa dan kondisi lampau. Kembalilah menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup kita.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts