Ilmu Islam ke mana cicirnya?

 

AGAKNYA berapa jumlah graduan Pengajian Islam (PI) dari universiti di seluruh dunia, pemegang ijazah dalam pelbagai peringkat dalam bidang Usuluddin, Syariah atau lain-lain disiplin Pengajian Islam?

Ada berapa ramai huffaz al-Quran, lepasan pengajian madrasah atau kuttab dan pesantren di seluruh dunia? Mereka ini menjadi asatizah, agamawan, guru, ulama, fuqaha, sarjana, ilmuwan agama atau apa sahaja gelaran, rasmi atau tidak.

Di Mesir, Al-Azhar yang menjadi pusat rujukan Islam sedunia telah lebih 1,000 tahun wujud. Namanya gah seantero planet, harum hingga ke langit. Lepasan asatizahnya tersebar ke seluruh dunia. Namun, Islam di Mesir masih terkongkong, tidak mendominasi masyarakat dan daulah. Ekonominya masih kapitalis. Politiknya sekular dan gawat sehingga Israel disekutuinya. Rakyatnya miskin, ramai mengemis, daripada anak-anak kecil hinggalah warga emas. Longgokan sampah menghiasi tepian jalan. Pelancong dan orang asing banyak ditipu rakyatnya ketika membeli-belah. Islam yang diajar oleh Al-Azhar tidak meresap dalam akhlak rakyat Mesir. Adakah ketinggian ilmu ulama dan fuqaha Azhariyyun tidak mampu menembusi dinding Al-Azhar? Bukan Al-Azhar sahaja, di Mesir ada banyak pusat pengajian Islam lain, sama ada moden dan tradisional.

Di Arab Saudi pun sama. Graduan Universiti Islam Madinah, Al-Imam, Ummul Qura dan sebagainya yang tersohor itu telah melahirkan puluhan ribu siswazah pengajian Islam. Tambahan pula di sini ada dua kota suci tumpuan ummah. Fungsinya sekadar pusat ibadah sahajakah? Bukan untuk menyuntik semangat memperjuangkan Islam bila pulang ke tempat masing-masing? Ke mana semangat itu menghilang selepas pulang dari haji dan umrah? Di Yaman, Jordan, Syria, Iraq, Algeria, Morocco dan seumpamanya pun sama keadaannya. Sangat banyak pusat pengajian yang melahirkan ramai agamawan.

Di Malaysia sendiri, ribuan siswazah pengajian Islam menerima ijazah setiap tahun dari universiti tempatan. Asatizah negara kita yang lepasan al-Azhar, Madinah, Jordan, Doeband, Pakistan, Indonesia dan lain-lain juga sangat ramai. Itu belum kira lepasan pondok dan madrasah serta para huffaz.

Di Indonesia, khabarnya ada 25,000 pesantren yang jumlah santrinya melebihi 3.65 juta orang pada satu-satu masa. Itu belum termasuk graduan universitas dalam jurusan agama. Rakyatnya membentuk populasi umat Islam teramai di dunia, iaitu 223 juta orang! Tapi adakah Islam dominan di sana? Ekonominya, sosial, politik dan undang-undangnya telahkah diislamkan?

Kita bangga ada ribuan, jutaan pusat keilmuan Islam. Syukur, ilmu Islam terpelihara. Tetapi, ilmu Islam yang tersebar melalui graduan Islam itu ke mana cicirnya hingga kita tidak upaya mewujudkan sebuah masyarakat Islam atau daulah Islamiyyah syumuliyyah yang boleh menjadi role model, baldatun tayyibah wa Rabbun Ghafur. Di mana silap kita?

Masih kurangkah kuantiti ratusan ribu, mungkin jutaan graduan pengajian Islam sama ada dari aliran pendidikan moden atau tradisional. Mereka adalah Hamalat al-Islam, pembawa risalah Islam dalam kalangan ummah. Namun, tercicir ke manakah Islam yang mereka bawa hinggakan ummah kita masih terpasung dalam kemunduran dan kebobrokan? Jumlah kita hingga tidak tertulis dalam statistik, namun tenat masyarakat kita makin bertambah. Pusat pengajian Islam makin bertambah, namun ummah masih lemah dan tertekan, ditindas. Perang dan pergolakan di negara umat Islam khusus di Asia Barat sengit berpanjangan tanpa sudah.

Adakah kita tidak cukup kuat semangatnya atau tidak cukup vitamin ilmunya. Atau ia mungkin akibat sistem pendidikan lemah, atau sekadar kelemahan individu? Atau adakah kita ditekan oleh Firaun dan Abu Jahal sehingga tidak dapat menyerlahkan risalah Islam? Atau pendekatan tidak betul? Sibuk bertelagah? Atau adakah misi hidup kita lebih bersifat peribadi, hanya berjuang untuk survival diri dan malah, ada juga yang terjebak dengan kegiatan menunggang agama?

Kuat dan hebat sangatkah sekularisme, liberalisme, kapitalisme, zionisme, atheisme dan isme-isme lain hingga tidak terdaya dilawan oleh pembawa syariat ALLAH ini yang kuantitinya sangat ramai, dan kualitinya diiktiraf hebat? Mereka yang kuat atau kita yang lemah? Atau puluhan disiplin ilmu Islam yang dipelajari masih tidak memadai? Atau kita ini masih lemah semangat jihad dakwah dan tarbiahnya sehingga masih kekal berstatusnya OKU – orang kurang usaha? Jawapannya ada pada diri masing-masing. Masih belum terlambat untuk kita mengubahnya.

Dr Saadan Man
Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/ilmu-islam-ke-mana-cicirnya-1.746602

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts