Individu berfahaman liberal perlu bertaubat: Mufti Selangor

 

BANGI – Jabatan Mufti Negeri Selangor menggesa umat Islam untuk mematuhi fatwa yang telah diwartakan, khususnya berkaitan dengan fahaman serta ajaran menyeleweng daripada Islam sebenar.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, pihaknya menzahirkan kesyukuran terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan Sisters In Islam (SIS Forum Berhad), Zainah Anwar dan Zaid Ibrahim untuk mengisytiharkan fatwa liberalisme dan pluralisme agama yang diwartakan pada 17 Julai 2014, tidak sah serta tidak berperlembagaan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu jelas mengiktiraf semua fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan kerajaan negeri, sebagai sah serta mengikat semua umat Islam di bawah Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Sehubungan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor mengajak umat Islam untuk mematuhi fatwa tersebut dan semua fatwa lain yang telah diwartakan, khususnya fatwa berkaitan fahaman-fahaman dan ajaran-ajaran yang menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar menurut pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah, demi menjaga kemuliaan, kesucian dan kemurnian akidah Islamiah serta syariat Islam di Selangor,” katanya.

Jabatan itu juga turut menggesa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme untuk bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

 

 

“Jabatan ini juga mengajak semua umat Islam untuk istiqamah dalam menuntut ilmu Islam yang sebenar dari ulama-ulama yang berautoriti dan bertauliah agar tidak mudah terjebak dengan fahaman dan ajaran yang sesat dan menyeleweng,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, dan memutuskan bahawa isu fatwa berada dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Hakim, Datuk Nordin Hassan memutuskan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa SIS Forum Berhad terpesong dari ajaran Islam adalah sah dan tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum (Malaysia), Zainah dan Zaid memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam dan menamakan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Selangor sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Mereka juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang membuat arahan melalui fatwa itu dengan mengarahkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi supaya menyekat laman sesawang sosial yang melanggar ajaran Islam sebagai bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai “company limited by guarantee” adalah tidak tertakluk dan bukan subjek kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts