Institusi zakat, wakaf perlu diperkasa untuk kekal relevan – Idris

PUTRAJAYA: Institusi zakat dan wakaf di negara ini perlu diperkasa bagi memastikan ia kekal relevan, terutama keberkesanan sistem penyampaian dan ijtihad hukum ketika berhadapan cabaran baharu pasca COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, berkata tanpa menafikan usaha dan keringat dicurahkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan agensi zakat, beliau berpandangan perubahan pendekatan agihan zakat perlu dibuat bermula daripada proses permohonan sehingga penawaran agar menepati prinsip maqasid syariah.

Menurutnya, perkara itu wajar dijadikan wadah perbincangan yang menjurus kepada usaha bagi meningkatkan keberdayaan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), MAIN dan agensi zakat agar bergerak seiring tuntutan semasa dalam menangani permasalahan sosioekonomi ummah.

Katanya, terdapat pelbagai pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan dan agensi berkenaan perlu keluar dari zon selesa serta mengorak langkah ke hadapan dengan yakin berbekalkan hala tuju jelas selagi masih berada dalam kerangka syarak.

“Peranan institusi zakat membuka mata banyak pihak yang sebelum ini melemparkan tohmahan serta memperleceh keberadaan institusi ini mengurus zakat, khususnya dalam agenda membantu masyarakat yang terjejas akibat COVID-19.

“Secara tidak langsung, ia menunjukkan keyakinan masyarakat bahawa institusi zakat yang kukuh mampu berperanan untuk menegakkan keadilan sosial,” katanya ketika merasmikan Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan (BZK) 2021 secara maya hari ini.

Idris berkata, tema sambutan BZK kali ini, iaitu ‘Zakat Prihatin: Muzakki, Cakna, Asnaf Merasa’ dilihat senada dengan konsep Keluarga Malaysia yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan menggariskan tiga teras utama, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Dalam konteks pengurusan zakat, beliau percaya tiga teras itu sememangnya tunjang kepada amalan operasi agensi di bawahnya dan mengimpikan usaha-usaha pembinaan Keluarga Malaysia yang sejahtera serta berganding bahu memulihkan negara daripada impak pandemik COVID-19.

Katanya, agensi zakat harus meneruskan usaha agresif turun ke lapangan bagi mencari asnaf serta memanfaatkan teknologi semasa khususnya media sosial bagi memaklumkan segala usaha yang dijalankan MAIN serta agensi zakat dalam membantu golongan berkenaan.

Idris berkata, ekosistem Zakat Prihatin yang menjadi pemangkin keharmonian dan kelestarian hidup berkualiti umat Islam di negara ini dibentuk melalui hubungan ‘muzakki’ golongan asnaf serta peranan agensi MAIN dan agensi zakat.

Pada masa sama, katanya, beliau melihat peranan signifikan MAIN dan agensi mengurus zakat yang terbabit secara langsung dalam ekosistem kewangan sosial Islam perlu ditonjolkan di peringkat nasional dan antarabangsa secara strategik oleh JAWHAR dan MAIN kerana Malaysia dikenali di persada antarabangsa sebagai peneraju dalam bidang kewangan Islam. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts