IPeguam dukung aspirasi Tun Ahmad Fairuz untuk daulatkan Islam

 

IPeguam ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim kerana telah menzahirkan cita-cita untuk umat Islam Malaysia dan tampuk pimpinan mengembalikan kedaulatan Islam di negara kita.

Ketika berucap semasa satu sesi syarahan umum bertajuk “Islam as the Law of the Land” anjuran Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Malaysian Lawyers Circle, Ikatan Peguam Muslim Malaysia (IPeguam) dan Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) pada 25 Mac yang lalu, Tun Ahmad Fairuz telah menegaskan bahawa sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, mana-mana undang-undang yang bercanggah dengan Islam boleh diisytihar sebagai tidak sah dan terbatal.

Rentetan sejarah perundangan Islam pra-kemerdekaan

Sebelum kedatangan kuasa asing silih berganti, sejarah perundangan Islam boleh dijejaki seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu pada abad ke-15 dengan pemakaian dua undang-undang yang menjadi tunggak ketika itu: Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka.

Mengandungi 44 Bahagian, Hukum Kanun Melaka berbicara tentang tugas dan tanggungjawab pemerintah atau Raja, larangan serta penalti bagi kesalahan sivil mahupun jenayah dan undang-undang keluarga. Undang-Undang Laut pula menggariskan 25 Bahagian berkenaan hal ehwal maritim, tugas dan tanggungjawab anak-anak kapal, undang-undang berkenaan pelayaran serta perdagangan.

Berpandukan perundangan Islam dari mazhab Shafii dan budaya setempat, undang-undang bertulis telah berkembang lantas melahirkan pelbagai undang-undang lain di sekitar Semenanjung seperti Hukum Kanun Pahang 1595, Undang-Undang Kedah 1605, Undang-Undang Johor 1789 dan Undang-Undang 99 Perak 1878.

Pengiktirafan ini kekal sehingga era pra-kemerdekaan, bahkan telah diperkuatkan. Di dalam kes Shaik Abdul Latif & Ors. V Shaik Elias Bux (1915) 1 FMSLR 204, telah dihakimi bahawa:

“Before the first treaties the population of the states consisted almost solely of Mohamedan Malays with a large industrial and mining community in thye midst. The only law at the time applicable to the Malays was Mohamedan modified by local custom.”

Pendirian yang sama telah disokong oleh dua orang Hakim British di dalam kes Ramah binti Taat v. Laton binti Malim Sutan (1927) 6 FMSLR 128 yang memutuskan bahawa:

“Muslim law is not foreign law but local law; it is the law of the land, and the local law is a matter of which the court must take judicial notice. The court must propound the law.”

Seorang pakar sejarah R.J Wilkinson menegaskan bahawa:

“There can be no doubt that Muslim law would have ended by becoming the law of Malaya had not British Law stepped in to check it.”

Dalam ertikata lain, faktor yang menyekat potensi undang-undang Islam dilaksanakan sepenuhnya di Tanah Melayu adalah kedatangan penjajah British.

Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa Islam adalah undang-undang asal yang menjadi asas dan latar belakang pembentukan Tanah Melayu semasa kemerdekaan pada tahun 1957 dan berkesinambungan sehingga pembentukan negara kita Malaysia pada tahun 1963.

Islam bukan sekadar dogma dan ritual

Kedudukan dan pengaruh Islam dalam perundangan, cara hidup dan norma tempatan terus diiktiraf sehingga ke hari ini. Maka sewajarnya pendirian Tun Ahmad Fairuz diberikan perhatian dan pertimbangan yang serius.

Pendirian ini telah pun dimuktamadkan oleh Tun Ahmad Fairuz di dalam penghakiman beliau berkenaan kes Lina Joy v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [2007] 4 MLJ 585 bahawa:

Islam itu bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya adalah juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian atau awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.

Di dalam kes Lina Joy, Tun Ahmad Fairuz juga merujuk kepada penghakiman oleh Tun Abdul Hamid di dalam kes Kamariah Ali v Kerajaan Negeri Kelantan, Malaysia & Satu Lagi [2002] 3 CLJ 761 dalam menjawab persoalan samada orang Islam boleh memeluk agama Islam atau keluar daripada Islam (murtad) berdasarkan konsep kebebasan beragama di bawah Perkara 11 bahawa:

“Pada pandangan saya [Tun Abdul Hamid], berkaitan dengan agama Islam (saya tidak memutuskan mengenai agama-agama lain), Perkara 11 tidaklah boleh ditafsirkan sebegitu luas sehingga ia membatalkan semua undang-undang yang menghendaki seseorang Islam itu mengerjakan sesuatu kewajipan agama Islam atau melarang mereka melakukan sesuatu perkara yang dilarang oleh agama Islam atau yang menetapkan acara bagi melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan agama Islam”.

Kedudukan Islam istimewa disisi Perlembagaan

Selanjutnya, Tun Abdul Hamid turut menghakimi bahawa Islam mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding kedudukan agama-agama lain. Hal ini kerana hanya Islam sahaja yang disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan teragung tersebut memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri untuk membuat undang-undang berkaitan dengan hukum syarak menurut Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 adalah antara manifestasi bahawa hukum syarak yang terpakai ke atas umat Islam adalah selari dengan Perlembagaan. Akta 355 yang memberikan bidang kuasa terhadap Mahkamah Syariah turut dilihat sebagai mengiktiraf kedudukan institusi Islam yang dipertanggungjawabkan untuk membicarakan kesalahan jenayah syariah yang dilakukan oleh orang Islam bagi membanteras gejala dan perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama. Ini adalah keistimewaan yang sama sekali tidak dinikmati oleh agama-agama lain dari sudut perundangan mahupun Perlembagaan.

Di dalam kes Meor Atiqulrahman v Fatimah Sihi and Others [2001] 1 MLJ 393, Hakim Yang Arif Dato Mohd Noor telah menyebut bahawa:

“Islam ialah ugama bagi persekutuan tapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dalam aman dan damai. Islam adalah ugama utama di antara ugama-ugama lain yang dianuti di negara seperti Kristian, Buddha, Hindu. Islam bukan setaraf dengan ugama lain. Bukan duduk berganding bahu dengan agama lain atau berdiri sama sama tegak. Ia duduk di atas, berjalan dahulu, terletak di tempat medan, dan suaranya lantang kedengaran. Islam ibarat pokok jati. Tinggi, teguh, dan terang. Jika bukan sedemikian, Islam bukanlah ugama bagi persekutuan, tetapi adalah salah satu di antara beberapa ugama yang dianuti di wilayah ini, dan setiap orang sama-sama bebas mengamalkan manamana ugama yang dianuti. Tiada lebih di antara satu sama lain.”

Malaysia bukan negara sekular

Kerangka yang dipelopori oleh pejuang liberal dan sekular sering mencerminkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular. Antara dalil yang digunapakai oleh mereka yang selektif dan berniat mengelirukan masyarakat adalah kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55 bahawa kononnya kes tersebut mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara sekular. Paling tidak, mereka mendakwa bahawa memandangkan perundangan Malaysia ketika itu (dan hingga sekarang) mempunyai ciri sekularisme, maka ia menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular, merujuk kepada kesalahan mengedar dadah dan bagi kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Komentar terhadap kes ini telah dibuat oleh Tun Abdul Hamid di dalam kertas kerja “Islam dan Tafsiran Keperlembagaan oleh Mahkamah di Malaysia” di mana beliau memperjelas bahawa:

“Malangnya, penghakiman itu menggunakan perkataan ‘secular’, itu pun bukan untuk menggambarkan negara, tetapi institusi-institusi dan undang-undang. Itu pun penggunaannya tidak tepat dan perkataan itu tidak perlu digunakan. Disebabkan oleh kepentingan politik dan kumpulan, ia kerap dipetik di luar konteks bagi mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara secular, sedangkan Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak sekali pun memakai perkataan ‘secular’. Perhatian tidak diberi kepada perisytiharan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan” sedangkan agamaagama lain sekali pun tidak disebut. Perhatian tidak diberi bahawa adanya peruntukanperuntukan mengenai Ketua Agama Islam yang tidak ada bagi agama-agama lain. Perhatian tidak diberi bahawa terdapat peruntukan yang melarang pengembangan agama-agama lain di kalangan orang-orang Islam; bahawa terdapat peruntukan mengenai pemberian bidang kuasa kepada Badan Perundangan Negeri mengenai undang-undang Islam termasuk penubuhan mahkamah Syariah, pengwujudan kesalahan-kesalahan mengenai “precept of Islam”, penubuhan dan pengurusan institusi-institusi Islam seperti Baital Mal dan wakaf, yang semuanya tidak diperuntukkan bagi agama-agama lain. Adakah ini semua peruntukan sekular?”.

Perundangan berasaskan nilai-nilai Islam

Kedudukan Islam telah diperkukuhkan di dalam kes Menteri Dalam Negeri & Ors v Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur [2013] 8 CLJ 890 di mana Ketua Hakim Negara ketika itu iaitu Tan Sri Mohamed Apandi Haji Ali memutuskan bahawa:

“It is my judgment that the purpose and intention of the insertion of the words: “in peace and hormany” in Article 3(1) is to protect the sanctity of Islam as the religion of the country and also to insulate against any threat face or any possible and probable threat to the religion of Islam.”

Oleh yang demikian, IPeguam menyeru umat Islam agar bersama-sama mendukung aspirasi dan cita-cita Tun Ahmad Fairuz agar kedaulatan Islam dapat disempurnakan dari sudut perundangan. Perlembagaan Persekutuan sewajarnya diberikan tafsiran dan kefahaman tersendiri kerana keunikannya tanpa dipengaruhi kerangka negara luar seperti India, Amerika Syarikat bahkan Indonesia sekalipun.

Seperti yang disebut oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Merdeka University Berhad v Government of Malaysia [1982] 2 MLJ 243 bahawa sekiranya atau apabila terdapat perbezaan di antara perlembagaan India dan Malaysia walaupun perlembagaan Malaysia dibentuk berdasarkan perlembagaan India, adalah wajar untuk memberikan perhatian serta berhati-hati dalam memahami niat atau tujuan perbezaan tersebut yang menghendaki satu kerangka tersendiri bagi negara kita yang tercinta.

Tun Ahmad Fairuz telah menyatakan harapan beliau agar sistem perundangan Malaysia kembali berakar umbikan nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam. Perkara ini sejajar dengan aspirasi umat Islam merealisasikan kefahaman tentang Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam serta disokong oleh fakta-fakta sejarah sejak zaman kesultanan Melayu Melaka. Walaupun tidak diperuntukkan dengan jelas bahawa syariat Islam adalah undang-undang dasar bagi negara kita, undang-undang yang diperbuat oleh Parlimen dan Badan Perundangan Negeri seharusnya mengambil kira Perkara 3 yang menjamin kedudukan dan kedaulatan Syariat Islam.

IPeguam juga menyeru rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang mencintai keharmonian dan muhibbah supaya sentiasa berwaspada terhadap usaha berterusan pihak-pihak penentang kedaulatan syariat Islam yang tidak akan berhenti sehinggalah kehendak hawa nafsu mereka tercapai.

Usaha murni dan pendirian tegas untuk mendaulatkan kedudukan Islam sebagai dasar utama di dalam sistem perundangan Malaysia sebagaimana yang disarankan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim perlu disokong oleh seluruh umat Islam.

Mohd Luttfi Bin Abdul Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam Muslim Malaysia (IPeguam)

www.indahyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts