Israel Halang PBB Salur Bantuan Kepada Penduduk Gaza Yang Kelaparan

New York – Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stéphane Dujarric, mendedahkan bahawa Israel menghalang PBB daripada mengambil trak bantuan makanan untuk penduduk Gaza yang sedang kelaparan, walaupun amaran kebuluran semakin serius selepas lebih 80 hari sekatan penuh dikenakan.

600 Trak Bantuan Terkandas

Menurut Dujarric, terdapat 600 trak bantuan berada di lintasan Karem Abu Salem, tetapi selama tiga hari berturut-turut, Israel tidak membenarkan trak-trak ini diambil oleh PBB.

PBB perlu dapatkan kebenaran dari agensi kerajaan Israel (COGAT) untuk ambil dan keluar semula dengan bantuan itu. Tetapi laluan yang diberi tidak selamat untuk pekerja bantuan dan barang.

“Mereka langsung tidak memudahkan kerja kami,” kata Dujarric.

Israel Guna Sekatan Sebagai Senjata

Pada 2 Mac, Israel menutup semua lintasan masuk ke Gaza, memutuskan bekalan makanan, ubat dan bantuan kemanusiaan. Ini menyebabkan keadaan kemanusiaan semakin teruk.

Beberapa badan hak asasi mendakwa Israel sengaja guna kebuluran sebagai senjata perang terhadap rakyat Palestin.

Laporan keselamatan makanan (IPC) pula memberi amaran bahawa 1 daripada 4 penduduk Gaza bakal hadapi kebuluran paling kritikal dalam masa terdekat.

Mekanisme Bantuan Baharu Dikritik

Selepas tekanan global, Israel bersetuju benarkan beberapa trak bantuan masuk. Tapi jumlahnya amat terhad dan tidak cukup langsung untuk keperluan sebenar rakyat Gaza.

Israel dan Amerika Syarikat kemudian tubuhkan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) untuk ambil alih pengagihan bantuan. Tapi GHF ini dikritik hebat kerana:

  • Dikuasai kontraktor keselamatan Amerika.
  • Tidak neutral.
  • Menyebabkan kekacauan dan bahaya kepada orang awam.
  • Cuba hapuskan peranan agensi PBB.

Pegawai GHF Letak Jawatan

Pengarah Eksekutif GHF, Jake Wood, meletakkan jawatan kerana organisasi itu tidak ikut prinsip kemanusiaan.

“Saya tidak akan tinggalkan prinsip seperti kemanusiaan dan kenetralan,” katanya.

Beliau turut mendedahkan bahawa GHF tidak dapat berfungsi dengan adil dan Israel perlu benarkan lebih banyak bantuan masuk.

Siasatan juga menunjukkan beberapa ahli perniagaan Israel adalah pemilik GHF. Malah, Duta Israel ke AS mengaku Israel bantu tubuh GHF.

Tembakan Ketika Agihan Bantuan

Pada hari pertama operasi GHF di Rafah, tentera Israel menembak orang awam yang beratur untuk bantuan. Tiga maut dan sekurang-kurangnya 46 cedera.

Rakaman menunjukkan ratusan orang kelaparan menyerbu pusat bantuan kerana bantuan lambat diagihkan. Mereka dikehendaki masuk melalui pintu elektronik, tapi proses lambat dan menyusahkan.

Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini, menyifatkan sistem bantuan baharu ini sebagai:

“Tidak bermaruah, tidak selamat, dan membazir masa.”

Beliau tegaskan sistem PBB sedia ada sudah cukup baik dan berkesan.

PBB: Rakyat Gaza Perlu Bantuan Sekarang

Jurucakap PBB berkata gambar dan video dari lokasi bantuan sangat menyedihkan.

“Kami ada rancangan bantuan yang selamat dan telus, seperti yang kami guna di Sudan, Myanmar dan tempat lain,” katanya.

PBB dan rakan-rakannya sedia bantu – jika Israel benarkan.

Sumber : Quds News Network

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts