Isu Buli, Rogol Dan Bunuh Antara Bukti Sistem Pendidikan Negara Tenat

BANGI, 23 RABIULAKHIR – “Kalau satu kes berlaku, itu takdir. Kalau dua kes berlaku, mungkin kebetulan. Tetapi kalau bertali arus kes berlaku, itu adalah krisis.”

Demikian tegas Timbalan Pengarah MINDA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, ketika mengulas isu serius melibatkan pelajar sekolah seperti kes buli, rogol dan bunuh, yang disifatkannya sebagai tanda jelas bahawa sistem pendidikan negara kini sedang tenat.

Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini bahawa sistem pendidikan negara “cacat”, serta pendedahan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) berhubung banyak isu yang “disapu bawah karpet”, membuktikan kebenaran terhadap amaran yang telah beliau suarakan sejak lima tahun lalu.

“Saya sudah menulis dan menegur perkara ini berulang kali. Tapi ketika itu saya dituduh menabur fitnah,” katanya.

Dr Anuar menegaskan bahawa apa yang berlaku hari ini menunjukkan sistem pendidikan negara sememangnya berada dalam keadaan ‘caca marba’ dan ‘sakit’.

“Pendidikan negara kita memang ‘caca marba’ dan ‘sakit’. Sistem pendidikan kita sedang dalam krisis. Fitnah apa lagi?” tegasnya.

Beliau turut merujuk kenyataan KPPM yang menggambarkan keadaan semasa sebagai “bom atom yang hanya menunggu masa untuk meletup”, menandakan betapa seriusnya masalah dalaman dalam sistem pendidikan negara.

“Percayalah, apa yang berlaku sekarang hanyalah simptom kepada gejala pendidikan yang jauh lebih besar,” katanya lagi.

Menurut Dr Anuar, beliau sentiasa menulis berdasarkan data dan fakta sahih, bukan berdasarkan sentimen mahupun andaian.

“Sudah lebih lima tahun saya menulis tentang perkara ini. Akhirnya, ternyata betul apa yang saya sering sebut.
“Sebab saya hanya menulis berdasarkan data dan fakta yang sahih,” ujarnya.

Kenyataan beliau dibuat susulan beberapa kes tragik yang menggoncang negara, antaranya kematian pelajar Zara Qairina, yang siasatannya memberi tumpuan kepada unsur buli dan pengabaian.

Terbaharu, berlaku kes rogol di sebuah sekolah di Melaka yang menyebabkan beberapa pelajar lelaki ditahan dan dibuang sekolah, selain kes bunuh yang dilaporkan semalam dan kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

Sumber: TV Pertiwi

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts