Jais lancar dana wakaf Al-Quran

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melancarkan Tabung Dana Wakaf Al-Quran Selangor (Pasca Banjir) bagi menggantikan al-Quran yang rosak akibat banjir.

Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, dana wakaf itu memerlukan kira-kira 50,000 naskhah al-Quran dengan nilai RM1.5 juta.

Katanya, sehingga ke hari ini, dianggarkan lebih 155 tan naskhah al-Quran rosak akibat banjir dan dijangka selesai pelupusan hari ini.

“Naskhah al-Quran ini untuk kegunaan masjid, surau serta sekolah terjejas akibat banjir serta memastikan pelajar dapat memiliki naskhah al-Quran untuk pembelajaran di sekolah.

“Tabung ini diputuskan selepas kedudukan terakhir data tindakan Jais bagi pelupusan al-Quran dan data terkini sekolah dan pelajar Jais terjejas akibat banjir dibentangkan di dalam Mesyuarat Penyelarasan Teknikal Banjir Jais pada 4 Januari lalu.

“Justeru, JAIS mengajak semua menginfakkan wang untuk tujuan wakaf al-Quran ke Tabung Dana Wakaf Al-Quran Selangor (Pasca Banjir),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Dana Wakaf al-Quran Selangor di Lobi Utama Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, semalam.

Mohd Shahzihan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj juga menitahkan supaya dana wakaf Al-Quran dilaksanakan segera dan diselaraskan oleh Jais.

“Sultan Selangor turut berkenan memberikan sumbangan peribadi Baginda untuk tujuan dana ini, malah sejak diwujudkan 4 Januari lalu, Jais sudah memperoleh RM383,000.

“Antara penyumbangnya, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Kumpulan My Sutera, Perbadanan Wakaf Selangor, Yayasan Taqwa, Tabung Sumbangan Jemaah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Semua pihak dialu-alukan menyumbang ke tabung ini melalui akaun Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Maybank Islamic : 562106718620) dengan catatan DANA WAKAF ALQURAN dan boleh membuat imbasan ke Kod QR yang diberikan untuk membuat sumbangan itu,” katanya.

Katanya, tabung dana itu akan dibuka mulai semalam sehingga 5 Mac depan.

Beliau berkata, banjir pada 18 Disember lalu itu menjejaskan 33 masjid, 90 surau dan 56 sekolah rendah agama di bawah kelolaan Jais, serta 35 buah naahad tahfiz swasta.

“Selain kerosakan struktur tanah, struktur bangunan, elektrikal dan kemudahan asas sedia ada, banjir kali ini turut menjejaskan keperluan asas jemaah masjid dan surau serta pelajar sekolah termasuk naskhah al-Quran di masjid dan surau serta naskhah masing-masing milik pelajar sekolah di bawah kelolaan Jais,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts