JAKIM anjur Semarak Cinta Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul

 

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menganjurkan program Semarak Cinta Rasul yang akan disiarkan melalui stesen televisyen TV1, bermula jam 9 malam ini hingga 3 November depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata inisiatif norma baharu itu diambil berikutan pembatalan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M.

Beliau berkata, langkah itu adalah untuk menjaga kemaslahatan rakyat dalam usaha membendung pandemik COVID-19.

Katanya, penganjuran program Semarak Cinta Rasul juga bertujuan meneruskan usaha menyantuni masyarakat dalam memperingati detik bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW, sekali gus menghayati sirah dan sunah baginda.

Beliau memaklumkan, program malam ini akan dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh johan qari Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa 2014, Ahmad Tirmizi Ali, serta tayangan video khas Ibrah bertajuk ‘Muhammad.’

“Ia disusuli tausiyah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Selain itu, program Bual Bicara dengan ahli panel terdiri daripada pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, serta pendakwah, Syed Norhisham Tuan Padang.

“Penonton juga akan dipersembahkan dengan nyanyian nasyid oleh Kumpulan Hijjaz dan Daqmie; pengumuman penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul; serta penzahiran doa khas untuk memohon agar Malaysia selamat dan aman daripada pandemik COVID-19, di samping kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Aziz berkata, program lain ialah Forum Perdana Ehwal Islam (FPEI) Khas yang akan ke udara menerusi TV1 dari jam 9 hingga 10.30 malam esok dengan tema ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni.’

Selain itu, beliau berkata, rancangan bual bicara muzikal ‘Kasih Junjungan’ pada jam 10.30 malam esok.

Katanya, Kapsul Maulidur Rasul SAW pula bakal menampilkan enam personaliti dakwah bagi membicarakan topik Kelahiran Rasul SAW, Sifat Mulia Rasul SAW, Cinta Rasul, Sunah Rasul Dalam Kehidupan dan Hadis Nabi SAW.

Beliau berkata, kapsul itu akan disiarkan menerusi saluran 101 TV1, bermula esok hingga 3 November depan.

Seterusnya, Pertandingan Video Kreatif dengan kerjasama strategik Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang berunsurkan nilai murni dan Rasulullah SAW sebagai suri teladan.

Selain itu, Kempen Malaysia Berselawat di Media Sosial yang memberi peluang netizen menzahirkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW dengan merakamkan selawat dan memuat naik dalam media sosial menggunakan hashtag #SemarakCintaRasul; serta Penerbitan Buletin Khas untuk edaran di masjid sekitar Wilayah Persekutuan dan boleh turut dimuat turun melalui portal JAKIM. – Berita Harian

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts