Jakim sediakan SOP baharu solat jemaah di setiap masjid, surau

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyediakan ketetapan baharu mengenai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau untuk panduan setiap negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, langkah tersebut sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mempersiapkan negara bagi memasuki fasa endemik COVID-19 menjelang akhir Oktober nanti, selepas 80 peratus penduduk lengkap divaksinasi.

Jelasnya, beliau akan mengadakan satu pertemuan bersama mufti-mufti negeri, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat bagi perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut.

“Pertemuan ini bagi membincangkan beberapa cadangan yang boleh diambil bagi memberi ruang kapasiti yang lebih luas untuk umat Islam solat berjemaah di masjid dan surau dengan langkah-langkah keselamatan yang rapi.

“Selain itu, cadangan untuk menjadikan lebih banyak surau biasa termasuk surau-surau di pejabat sebagai tempat mendirikan solat Jumaat juga akan turut dibincangkan bersama pihak berkuasa agama negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Idris mengulas, kerajaan memberi perhatian serius terhadap kemudahan solat berjemaah di masjid dan surat serta aktiviti berkaitannya.

Jelas Idris, ianya sebahagian daripada lima inisiatif MANTAP yang disediakan kementeriannya iaitu Pemantapan Mental, Jasmani dan Rohani serta Pemantapan Institusi Masjid dan Surau.

Ketetapan yang akan dibuat kelak turut mengambil kira titah nasihat, pandangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong serta Sultan dan Raja negeri-negeri yang bertanggungjawab mengenai urusan hal ehwal Islam di negara ini, katanya.

“Saya amat berharap agar masyarakat khususnya umat Islam memahami bahawa sebarang keputusan yang akan dibuat pihak kerajaan dalam setiap perkara, keselamatan rakyat adalah perkara yang paling menjadi keutamaan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberi jaminan akan terus berusaha bersama pihak berkuasa agama negeri dalam perkara berkaitan hal ehwal agama Islam, agar dapat dilaksanakan dengan lebih teratur serta menurut lunas perundangan,” katanya.—AlHijrah Online

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts