Jangan bina pengikut taasub

  1. Menjadi ‘ustaz’, adakalanya adalah impian ramai orang samada yang melalui disiplin pengajian agama secara sempurna dan tersusun atau yang melaluinya secara tidak formal atau yang melaluinya secara celup-celup. ‘Ustaz’ dirujuk, adakalanya disanjung dan adakalanya dicarikan jodoh. Gitulah untungnya jadi ‘ustaz’. Mungkin tak lama lagi keluar slogan ‘tak hensem takpa janji ustaz’.
  2. Tetapi kita juga kena faham di sebalik itu, ada beban yang menanti. Beban itu ada yang ditanggung di dunia. Dan yang lebih berat adalah beban yang akan ditanggung di akhirat.
  3. Kalau ‘ustaz’ ni jenis bertanggungjawab, dia akan mendalami isu apa yang dia nak sampaikan kepada masyarakat sebelum bercakap atau mengulas. Buat kajian dan analisa walaupun ringkas. Kalau tak tahu, cakap je tak tahu. jangan meleret. Jangan rendahkan akal masyarakat dengan ‘goreng-goreng’ yang menghiburkan tapi tak mendidik. Jangan keluarkan pandangan yang menyesatkan atau mengelirukan. Dan pelbagai lagilah yang boleh dikongsikan di sini.

Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadis (hadis ini dhaif tetapi maknanya disebut oleh ulamak sebagai benar):

أجرؤكم على الفتوى أجرؤكم على النار

“Orang yang berani di kalangan kamu mengeluarkan fatwa, adalah orang yang berani untuk dihumban ke dalam neraka.” (Riwayat ad-Darimi)

Maksudnya fatwa semberono tanpa ilmu boleh menjerumuskan seseorang ke dalam neraka.

  1. Satu lagi beban yang mungkin ‘ustaz’ tak perasan adalah bagaimana nak mengawal supaya anak muridnya berpegang dan cinta kepada kebenaran dan bukannya taasub kepada dirinya. Taasub kepada ‘ustaz’ akan membawa kepada banyak lagi kerosakan lain. Ia akan membawa kepada asobiyah tercela. Ia akan membawa kepada permusuhan dengan pengikut ‘ustaz’ aliran lain. Ia akan membawa kepada kesibukan terhadap perkara furu’. Juga boleh merosakkan ‘ustaz’ itu sendiri kerana bila dia rasa dia hebat, itulah permulaan kepada kejatuhannya.
  2. ‘Ustaz’ perlu hati-hati dalam mendidik orang di sekelilingnya.

Boleh jadi yang mengelilinginya itu adalah anak murid yang ingin menceduk ilmunya.

Jika begitu, ajarlah kepada anak murid itu bahawa mereka perlu amanah terhadap ilmu. Yang benar itu adalah ilmu yang benar tidak kira datang dari siapa. Didik mereka hingga mereka boleh sampai ke tahap anak-anak murid Imam Abu Hanifah yang menjadikan majlis ilmu Imam Abu Hanifah sebagai majlis muzakarah mencari kebenaran bukan majlis menadah telinga tanpa bahas. Atau seperti Imam Malik mendidik Imam Syafie hingga Imam Syafie boleh menulis perbezaan pandangannya dengan Imam Malik.

  1. Boleh jadi yang mengelilingi ‘ustaz’ itu adalah peminatnya sahaja yang datang dari pembenci ‘ustaz’ lain.

Jika begitu, didiklah mereka agar tidak membenci ‘ustaz’ lain atas dasar yang tidak dibenarkan oleh syarak. Ajar mereka berlapang dada pada perkara khilaf dan besarkan jiwa menerima perbezaan pandangan dan perbezaan karektor. Jangan suburkan kebencian kepada ‘ustaz’ lain semata-mata kerana ingin meramaikan peminat sendiri. Tidak ada gunanya ramai peminat jika peminat itu dari jenis yang demikian.

  1. “Ustaz’ tak perlu tunjuk tahu semua benda untuk nampakkan dia hebat supaya pengikut terus menyanjunginya. Apatah lagi jika tunjuk bahawa dia kasyaf atau dia ada firasat atau dia dapat ilham atau dia terpilih untuk dikurniakan mimpi. Tidak perlu semua itu.

Yang akan menjadikan dia hebat di pandangan mata anak muridnya adalah Allah. Allah memilih sebahagian hambaNya untuk diangkat di mata manusia ketika dia hidup. Dan ada sebahagian yang dipilih untuk diangkat di mata manusia sesudah dia mati. Biarkan Allah dengan urusannya. Ingatlah amaran Imam Syafie wahai ‘ustaz’ ……

مَنْ سَامىَ بنفسِهِ فوقَ ما يُساوي؛ ردّه اللهُ إلى قيمتِه

“Sesiapa yang menganggat tinggi dirinya lebih dari nilainya, Allah pasti akan mengembalikannya ke nilainya yang sebenar.”

  1. ‘Ustaz’ tidak perlu tunjuk pandai dengan menunjukkan kepada anak murid atau peminatnya segala apa yang dia pernah belajar. Banyak ilmu yang ‘ustaz’ pelajari, tapi tak semuanya perlu untuk masyarakat tahu.

Kongsikan dengan masyarakat apa yang perlu untuk mereka tahu sebagai panduan hidup mereka seharian. Itulah yang dilakukan oleh ulamak nusantara sebelum ini, mereka himpunkan apa yang masyarakat perlu dan bukan muntahkan semua yang ada dalam kitab.

Tak perlulah sebut kepada pengikut ‘pandangan sebenar dalam masalah ni adalah sekian-sekian’ dan kemudian muntahkan segala khilaf ulamak dalam masalah tersebut. Akhirnya masyarakat hilang hormat pada ulamak tempatan sebelum ini dan rasa mereka tertipu oleh ulamak. Konon yang menyelamatkan mereka dari kesesatan berkurun ini adalah ‘ustaz’ yang kononnya buat kajian lebih dalam ….. Benda khilaf ni ada dalam kitab belas-belas kurun dah kot, ulamak sebelum ni tak cerita takut masyarakat pening sahaja. ‘Ustaz’ zaman ni nak tunjuk pandai, dia peningkan masyarakat dengan edisi ‘bongkar’ dia.

  1. Anak murid faham silap dari ajaran ‘ustaz’, adakah ‘ustaz’ tidak dipertanggungjawabkan di hadapan Allah? Anak murid taasub dengan ‘ustaz’ hingga bermusuhan dengan orang lain, adakah boleh ‘ustaz’ berdiam diri dan membiarkan sahaja? Anak murid menyebarkan kata-kata tersasul yang keluar dari mulut ‘ustaz’ yang ‘ustaz’ pun tahu ianya salah, adakah ‘ustaz’ tak perlu panggil anak murid itu dan betulkan? Anak murid hilang hormat pada ulamak tempatan silam dan hilang hormat pada institusi agama, adakah ‘ustaz’ tak rasa ada tanggungjawab di situ untuk betulkan keadaan?

Berhati-hatilah wahai ‘ustaz’ dalam mendidik masyarakat. Berhati-hati dalam berkata-kata dan menulis.

Kerja ‘ustaz’ tidak hanya di kerusi kuliah dan kemudian tamat …. Sampul berisi yang ajk masjid beri itu untuk kos minyak dan penghargaan beri masa sahaja. Ilmu dan didikan itu Allah yang balas. Jika ilmu baik yang disebarkan baiklah balasannya. Jika ilmu buruk yang disebarkan buruklah balasannya.

Wallahul Musta’an

Ust Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Zionis bedil Gaza lagi!

  BAITULMAQDIS – Pesawat Israel melancarkan beberapa siri serangan terbaru menyasarkan lokasi di utara Semenanjung Gaza, semalam.Jurucakap tentera…