Jauhi tempat yang mengundang fitnah

 

DUNIA adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah. Demikian sabda Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan kemuliaan wanita yang taat pada aturan serta ketetapan Ilahi. Satu daripadanya ialah kewajipan menutup aurat.

Aurat merupakan bahagian tubuh yang wajib dilindungi. Ia hanya boleh diperlihatkan dalam keadaan atau kepada individu tertentu mengikut garis panduan ditetapkan Islam.

Dalam hal ini, menutup kepala dengan bertudung merupakan satu daripada elemen menjaga aurat dan mempunyai tatacara pemakaian tersendiri.

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tudung adalah lambang kehormatan wanita dan simbol kepatuhan seorang hamba terhadap perintah Tuhan.

“Tudung juga adalah salah satu bentuk kesempurnaan dalam beragama. Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak Muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.

“Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu, mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.

“Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha menjadi lebih baik daripada hari sebelumnya,” tuturnya dalam satu surat teguran kepada pengacara dan pelakon, Noor Neelofa Mohd. Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa yang disiarkan melalui laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kelmarin.

Ia ekoran tindakan Neelofa yang mengadakan pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29 di kelab malam Zouk di ibu negara Isnin lalu.

Tindakannya turut mengundang kritikan netizen terutamanya mereka beragama Islam yang berpendapat perubatan itu tidak bersesuaian dengan imej wanita bertudung.

Zulkifli menambah, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan.

Fitnah

Menurutnya, satu kaedah yang masyhur di dalam Islam ialah matlamat tidak menghalalkan cara. Ia termasuk dalam perniagaan untuk mendapat untung adalah matlamat yang murni. Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Ahmad Sanusi Azmi (merangkap Penasihat Syariah Indahnya Islam) berkata, sesuai dengan jati diri seorang Muslim, Rasulullah turut berpesan agar menjauhi tempat yang boleh mendatangkan fitnah.

Baginda bersabda seperti hadis riwayat Ahmad: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul, hendaklah dia menjauhi tempat yang dihidangkan minuman arak.

“Hadis ini menggambarkan kepada kita bahawa tidak seharusnya seorang Muslim berada di tempat yang terzahir perlakuan yang dilarang oleh Allah.

“Ini kerana keberadaan mereka di tempat tersebut seolah-olah bersetuju dengan kemungkaran yang berlaku. Malah dibimbangi ia akan memberikan kesan negatif kepada diri seorang Muslim,” ujarnya.

Katanya, terdapat juga sebuah hadis berkenaan seorang lelaki yang telah membunuh 100 orang manusia. Lelaki itu dinasihati supaya berpindah ke tempat yang lebih baik supaya membantu dalam membentuk peribadi seseorang itu supaya menjadi lebih baik.

“Hadis ini mendidik kita tentang kepentingan persekitaran dan kawasan yang baik dalam membina syakhsiah (keperibadian) Muslim,” katanya.

“Dalam gejala kerosakan akhlak yang semakin membimbangkan, setiap Muslim seharusnya menjadi contoh buat anak muda bagi membimbing mereka dalam memilih persekitaran yang baik, sesuai dengan pembangunan jati diri seorang Muslim,” katanya.

Dalam pada itu, pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata, berada di tempat yang sinonim dengan arak dan pergaulan bebas bagi tujuan dakwah tidak salah dengan syarat tetap menjaga niat, syariat dan akhlak.

Jelasnya, sebaliknya, jika syariat dilanggar dan nilai akhlak tercemar, berada di tempat sedemikian ialah suatu yang mungkar dan mengundang fitnah.

“Bukan soal kita berada di mana, itu bukan persoalannya, tetapi yang penting ialah apa yang kita lakukan ketika kita berada di situ.

“Berada di kelab malam untuk berdakwah itu baik, tetapi walaupun berada di masjid untuk mencuri adalah tidak baik,” katanya. – Kosmo!

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts