JHEAINS sedia laksana solat tanpa penjarakan fizikal

Membakut: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) melakukan persediaan khususnya perincian prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan solat tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau yang bermula 1 April ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif bagaimanapun berkata pihaknya masih menunggu keputusan kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah berhubung perkara terbabit.

“Pihak kita sedang menunggu keputusan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah dan sekiranya sudah dibenarkan untuk itu, kita sudah bersedia, JHEAINS juga sudah bersedia.

“Kemudian kita akan keluarkan arahan dari semasa ke semasa untuk pengerusi dan imam masjid atau surau untuk melaksanakannya.

“Walau bagaimanapun, kita tetap membuat SOP dengan beberapa perkara atau peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Ambang Ramadan Sempena Ihya Bulan Barakah YADIN Negeri Sabah bertempat di Pantai Pimping, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Kamarul Arief Tuan Soh dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.

Dalam pada itu, Mohd Arifin turut memberitahu pemberita perincian SOP bagi pelaksanaan solat tarawih dan solat sunat Aidilfitri juga telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah.

Menurutnya, pihaknya menjangka keputusan dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah berhubung kebenaran pelaksanaan solat tanpa penjarakan fizikal di masjid dan surau serta SOP akan diketahui pada minggu hadapan.

“Mudah-mudahan semuanya akan lancar dan kita bersedia seperti mana negeri lain yang juga telah bersedia,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts