Kecewa, putus asa dalam hidup, punca hina agama Islam

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menganggap kes-kes penghinaan terhadap agama Islam yang berlaku kemungkinan berpunca daripada perasaan kecewa dan putus asa oleh individu tertentu apabila berhadapan dengan masalah-masalah hidup.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dalam satu kenyataan berkata, situasi tersebut menyebabkan mereka berasa tidak ditolong oleh Allah SWT pada saat mereka memerlukan. 

“Kerajaan negeri memandang serius dan bimbang dengan kes-kes penghinaan agama Islam mutakhir. Dalam masa yang sama kerajaan negeri sentiasa berwaspada dan bersiap-siaga untuk bertindak membendung gejala ini agar tidak merebak dan mengganggu keharmonian rakyat khasnya di negeri ini.

“Walaupun belum ada laporan khusus tentang punca-punca timbulnya gejala ini, kerajaan negeri cenderung melihat kepada usaha-usaha membendung dari sudut menjernihkan kefahaman terhadap Islam, ketuhanan dan amalan-amalan sama ada dalam kalangan umat Islam atau non-Muslim amnya.

“Dalam hal ini kerajaan negeri menyeru kepekaan ahli-ahli keluarga dan rakan taulan yang rapat dengan individu-individu berkenaan segera bertindak membantu dan melorongkan mereka ke jalan yang betul,” katanya.

Terdahulu beberapa kes melibatkan penghinaan terhadap agama Islam oleh beberapa individu dalam beberapa video klip yang tular melibatkan persembahan komedi dan ucapan menghina yang dirakam dan ditularkan secara meluas.

Jelas Mohd. Zawawi, majlis-majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau wajar ditumpukan menyeru kepada isu-isu berkenaan ketuhanan dan kekuatan mental dan spiritual umat agar sentiasa memiliki husnu Dzon (bersangka baik) kepada Allah SWT.

Jelasnya lagi, kerajaan negeri juga menggalakkan agar kuliah-kuliah tidak dijalankan secara statik di masjid dan surau sahaja bahkan dilaksanakan di pelbagai lokasi tumpuan masyarakat dengan kaedah yang lebih santai dan bersahaja.

“Kerajaan negeri menyeru agar masyarakat di negeri ini menyemai dan mempraktikkan konsep Fiqh Ta’ayyush (hidup bersama) dalam negara yang majmuk sifatnya ini agar sentiasa saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat,” ujarnya. – Utusan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts