Kecewa tindakan Kedutaan China, NGO Islam rancang anjur himpunan lebih besar

 

KUALA LUMPUR – Usaha badan bukan kerajaan (NGO) Islam menghantar memorandum bantahan kepada Kedutaan China di Malaysia bagi menuntut hak ke atas penindasan yang berlaku terhadap etnik Uighur gagal apabila memorandum itu ditolak pada Jumaat.

Terdahulu, permohonan rasmi bagi penghantaran memorandum berkenaan dihantar sejak Selasa dan maklum balas yang diterima jelas menyatakan Kedutaan China enggan menerima memorandum tersebut.

Alasan diberikan NGO dan jabatan-jabatan tertentu sudah dibawa bercuti di Xinjiang untuk menunjukkan tidak berlaku penindasan di sana.

Bagaimanapun, usaha berkenaan diteruskan apabila sekumpulan NGO mewakili 34 NGO yang menandatangani memorandum berkenaan melakukan bantahan aman di hadapan Kedutaan China, Jalan Ampang pada Jumaat.

 

Bantahan aman dilakukan di hadapan Kedutaan China, Jalan Ampang di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI

 

Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid yang mewakili 34 NGO Islam terlibat berkata, pihaknya akan mengedarkan memorandum itu secara terbuka bagi menuntut hak yang dinyatakan.

“Mereka tidak mahu buka pintu, mereka hanya intai. Mereka beritahu mereka tidak akan terima.

“Jadi kita tidak sampaikan dan kita akan edarkan ke seluruh dunia dan rakyat Malaysia,” katanya ditemui sempena bantahan aman berkenaan di sini.

Dalam pada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Mohamad Raimi Abdul Rahim berkata, pihaknya amat kecewa apabila permohonan secara rasmi yang dihantar tidak diterima oleh Kedutaan China.

“Ini merupakan pertemuan pertama di sini, kita akan datang lagi dan kita mohon agar kerajaan China melalui kedutaan di sini jangan bersifat angkuh. Kerajaan lain walaupun boleh dikira berkuasa, mereka masih menerima memorandum untuk dihantar oleh wakil-wakil.

“Kita tidak teragak-agak untuk hadir sekali lagi di sini dengan jumlah yang lebih besar. Ini adalah permulaan dan kita akan pastikan bahawa hak isu ini terus diperjuangkan oleh seluruh rakyat Malaysia, umat Islam dan warga dunia sehingga keadilan diberikan kepada warga Uighur,” katanya.

 

 

Tambah Mohamad Rahimi, pihaknya mahu permintaan yang dijelaskan menerusi memorandum berkenaan diberikan perhatian termasuk memberi layanan hak kepada warga Uighur yang berada di Xinjiang mahupun di negara-negara lain yang dinafikan hak untuk kembali ke negara mereka.

“Justeru kita mohon agar mereka dibenarkan untuk bertemu dengan keluarga mereka dan paling penting agar semua yang ditahan dalam kem tahanan seluruh Xinjiang dan China dibebaskan serta merta,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, bantahan aman yang dibuat hari ini serentak di Kedutaan China seluruh dunia sempena genap 10 tahun penindasan berlaku terhadap warga Uighur.

Menurutnya, kerajaan China tidak seharusnya menutup isu Uighur ini dengan membawa NGO-NGO Islam, mungkin jabatan-jabatan tertentu kerajaan pergi ke Xinjiang dengan memberi hotel percuma, makanan percuma tiket kapal terbang percuma kononnya tidak ada berlaku kezaliman di sana.

“Henti layan kami seperti kami orang yang tidak tahu apa-apa. Kita tahu apa yang berlaku di sana. Apa yang kita mahukan adalah kebenaran,” katanya.
– Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts