Pilihlah mati ketika bekerja kerana ia lebih mulia

 

1. Jika diberi hanya dua pilihan;

– untuk mati ketika bekerja melakukan amal soleh, dakwah, amar makruf nahi mungkar dan sebagainya
– atau mati ketika berehat

pilihlah mati ketika bekerja, kerana ia lebih mulia.

Tetapi pilihan terbaik bagi kehidupan jika mampu dicapai adalah imbangan antara kepenatan bekerja disenggangi kerehatan untuk mencari tenaga agar mampu terus bekerja selama yang boleh. Inilah kebijaksanaan dalam mengurus hidup.

2. Allah memerintahkan manusia bekerja di dalam firmannya:

وَقُلِ ٱعْمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُۥ وَٱلْمُؤْمِنُونَ ۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Bekerjalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
(At-Taubah: 105)

Manakala Rasulullah saw memerintahkan agar manusia seimbangkan dengan kerehatan di dalam sabdanya:

والذي نفسي بيده إن لو تدومون على ما تكونون عندي وفي الذكر لصافحتكم الملائكة على فرشكم وفي طرقكم ولكن يا حنظلة ساعة وساعة

“Demi yang jiwaku berada di tanganNya, jika kamu berterusan sebagaimana kamu berada di sisiku dan sentiasa berzikir, nescaya kamu akan disapa oleh para malaikat di pembaringan dan di jalanmu. Tetapi wahai Hanzalah, sedetik (untuk bekerja) dan sedetik (untuk kerehatan diri).”
(Riwayat Muslim)

Maka, ambillah keduanya sebagai arahan dari Allah.

3. Bekerja dan berehat, jika dilakukan dengan betul, kedua-duanya adalah ibadah kepada Allah. Jika dilakukan dengan kaedah yang salah, kedua-duanya jadi maksiat kepada Allah.

Kaedah yang paling asas, kerehatan itu ada kaitan dengan kerja. Kerehatan disusun agar kualiti kerja makin baik di masa akan datang dan bukan sebaliknya.

Jika kerehatan kita menambah buruk kualiti kerja di masa mendatang, maka kita tertipu dengan kerehatan itu. Muhasabahlah diri sebaiknya dan betulkan semula susunan hidup.

4. Gunalah tenaga dan rehat dengan berhemah.

Tenaga ada jumlahnya yang akan habis dengan penggunaan. Tenaga yang Allah beri, jika sepatutnya habis dalam masa 60 tahun, tetapi digunakan tanpa dirancang, mungkin akan habis dalam masa 30 tahun. Maka berbakilah 30 tahun seterusnya tanpa tenaga dan semangat.

Kerehatan juga ada jumlahnya. Jika digunakan dalam kadarnya, kerehatan akan jadi nikmat. Tetapi jika dilakukan berlebihan dari kadarnya, kerehatan akan jadi beban. Di situlah kita selalu melihat orang kepenatan kerana tidak ada kerja.

Ya Allah, terimalah amal kami dan rehat kami. Moga Engkau ampunkan segala kecuaian selama ini dan memberi peluang untuk terus mencari rahmat dan redha Mu dalam hidup yang masih berbaki.

Salam Jumaat Mubarakah.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts