Kejar ibadah akhir puasa

Sebagaimana kebiasaan setiap tahun menjelang akhir Ramadan, orang ramai sibuk melakukan persiapan menyambut ketibaan hari raya. Para peniaga sama ada di bazar Aidilfitri atau platform dalam talian melancarkan pelbagai promosi menarik minat pembeli bagi memastikan produk masing-masing laris dijual.

Lagu hari raya berkumandang dalam pelbagai versi. Sebahagian masyarakat pula sibuk berpolemik tentang tarikh hari raya dan semakin galak berteka-teki, bimbang hari raya mengejut lagi. Tanpa disedari Ramadan semakin berlalu pergi. Hakikatnya, orang mukmin yang benar-benar mendambakan kedatangan Ramadan, merebut peluang dan kesempatan yang masih berbaki untuk melaksanakan amal ibadah serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara amalan terbaik yang boleh dilakukan di penghujung Ramadan adalah beriktikaf di masjid. Walaupun iktikaf atau berdiam dalam masjid boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun amat digalakkan di dalam bulan Ramadan terutama di sepuluh malam terakhir.

Iktikaf menurut pandangan syarak bermaksud menetap dalam masjid dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT yang dilakukan oleh seorang Muslim, mumayyiz, berakal, suci tubuh badan daripada junub, haid, serta nifas, dan menghalang diri dari syahwat kemaluan.

Rasulullah SAW melazimi amalan beriktikaf sehingga kewafatan baginda untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan memohon ganjaran dan keampunan daripada-Nya. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA beliau berkata maksudnya: “Adalah baginda SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan sehingga baginda wafat. Kemudian para isteri baginda turut beriktikaf selepas kewafatan baginda.” (Riwayat Muslim)

Amalan beriktikaf ada hikmah besar kerana menghidupkan sunnah Rasulullah SAW serta menjinakkan hati Muslim agar selalu melaksanakan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Aku telah beriktikaf sejak sepuluh hari awal bulan untuk mendapatkan Lailatulqadar, kemudian aku beriktikaf sepuluh hari yang pertengahan. Kemudian Jibril datang kepadaku dan mengatakan Lailatulqadar terdapat di sepuluh hari terakhir bulan Ramadan. Sesiapa yang ingin beriktikaf, maka beriktikaflah (untuk mencari malam tersebut). Maka sahabat pun beriktikaf bersama Baginda.” (Riwayat Muslim)

Kebanyakan masjid di seluruh negara menganjurkan amalan beriktikaf dan qiamullail terutama pada 10 malam terakhir Ramadan bagi memburu Lailatulqadar. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram dan sebaik-baik solat selepas solat fardu adalah solat pada waktu malam.” (Riwayat Muslim)

Waktu terbaik menunaikan Qiamullail adalah di sepertiga malam sekitar jam 3 pagi. Setelah bangun tidur dan mengambil wuduk, disunatkan terus mengerjakan solat sunat Tahajud diikuti solat sunat lain seperti solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih dan solat sunat witir. Justeru, antara amalan lain boleh dilakukan semasa iktikaf di masjid termasuk membaca al-Quran, berwirid, berzikir, beristighfar dan berselawat.ADVERTISING

Allah SWT menetapkan syarat tertentu bagi mereka yang beriktikaf di masjid sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka jangan kamu hampirinya.

Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.” Di dalam Surah al-Baqarah ayat 125 Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud.”

Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala dan kelebihan kepada mereka yang beriktikaf di masjid kerana menjadi antara ibadah yang disyariatkan.

Dalil pensyariatan tersebut berdasarkan hadis daripada Abdullah Ibn Umar beliau berkata: “Adalah Rasulullah SAW itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan” (Riwayat al-Bukhari)

Menurut pandangan al-Imam al-Nawawi, hukum beriktikaf adalah sunnah mu’akkadah yang sangat dituntut. Beriktikaf disunatkan pada bila-bila masa dan lebih-lebih lagi dituntut dilaksana pada sepuluh hari terakhir Ramadan dengan niat mengikuti sunnah baginda Nabi Muhammad SAW.

Penuhilah ruang waktu beriktikaf dengan amalan qiamullail, membaca al-Quran, bersedekah, berzikir, bermunajat dan berdoa terutama doa keampunan dan kerahmatan daripada Allah SWT.

Antara doa yang digalakkan adalah yang ringkas dan padat sebagaimana hadis daripada Aisyah RA bahawa beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar, maka apa yang sepatutnya aku ucapkan? Baginda bersabda maksudnya, “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam sebuah hadis lain daripada Aisyah RA katanya bermaksud: “Adalah Rasulullah SAW apabila masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), Baginda SAW akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya dan memperketatkan kain sarungnya (menjauhi daripada melakukan hubungan seksual dengan isteri-isterinya).” (Riwayat Muslim)

Tahun ini kebanyakan masjid kembali membuka ruang kepada para jemaah beriktikaf selepas lebih 3 tahun pandemik Covid-19 melanda negara. Bahkan masjid utama dan terkemuka di seluruh dunia seperti Masjidil Haram dan Masjid Nabawi membenarkan orang ramai beriktikaf dalam bulan Ramadan.

Di Wilayah Persekutuan, masjid-masjid menyediakan pelbagai kemudahan seperti ruangan rehat, juadah iftar dan sahur percuma untuk jemaah yang beriktikaf. Sebahagian masjid mengambil inisiatif menganjurkan program khusus seperti iktikaf perdana bagi menggalakkan orang ramai melipatgandakan amalan pada malam tersebut.

Jadual imam jemputan disusun khas sempena program bagi memimpin ibadah qiamullail. Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pula menganjurkan Qiamullail Perdana malam ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Pada saat dan ketika umat Islam di bumi Palestin berterusan dikasari regim Zionis Israel sewaktu beribadah di Masjid al-Aqsa dalam bulan Ramadan, kita seharusnya mendoakan keselamatan buat mereka serta bersyukur dan memanfaatkan kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya kerana dapat menunaikan ibadah dan beriktikaf di masjid dalam negara tercinta dengan suasana penuh damai dan sejahtera.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts