Kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah: Mahkamah Koroner

 

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas, selain ia disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

“Punca kematian Muhammad Adib bukan berpunca daripada dirinya sendiri,” katanya.

Rofiah turut merumuskan kegagalan polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan itu menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Berikutan itu, beliau menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara untuk melakukan siasatan dan pendakwaan.

Peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Muhammad Adib, menangis sejurus Rofiah selesai membacakan keputusan mahkamah itu.

Syazlin kemudian dilihat ditenangkan oleh suaminya dan beberapa peguam lain selepas prosiding tamat.

Prosiding yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi tadi selesai pada jam 10.15 pagi.

 

 

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari lalu, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.

Sementara itu, tunang Allahyarham, Nurul Najihah Mohd Radzi, 26, bersyukur dengan keputusan mahkamah berkenaan.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan keputusan,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas prosiding.

Nurul Najihah yang berbaju kurung berwarna biru ditemani seorang wanita yang enggan dikenali.

Mereka berdua kemudian berlalu pergi ke kereta meninggalkan petugas media yang cuba bertanyakan beberapa lagi soalan lain.

Terdahulu, beliau yang tiba di mahkamah pada jam 8.45 pagi, masuk ke galeri awam mahkamah bersama Syazlin. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
  1. Syukur alhamdulillah semoga Allah membantu memudahkan urusan mahkamah mohd Adib dan keluarga seterusnya beliau mendapat pembelaan yang seawajarnya. Yang salah patut mendapat hukuman yg setimpal

Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts