“Sesungguhnya mempelajari sirah Nabi adalah kewajipan setiap muslim, kerana ia adalah praktikal amali dan penafsiran waqie terhadap agama ini.
Mempelajari sirah Nabi juga adalah kewajipan setiap pendakwah, ia mengajar bagaimana Nabi menyeru manusia kepada Allah, marhalah-marhalah yang dilaluinya sehingga mencapai hadaf, wasilah yang dilaluinya pada setiap marhalah, kesesuaian setiap marhalah itu dengan wasilahnya, dan bagaimana bersambungnya satu marhalah dengan marhalah yang lain.
Mempelajari sirah Nabi juga adalah kewajipan setiap jundi perang, ia mengajarnya mengenai thabat, berani dan sabar, dan selainnya mengenai ilmu peperangan.
Mempelajari sirah Nabi juga kewajipan setiap panglima, ia mengajarnya bagaimana Rasulullah memimpin peperangan, menggerakkannya dan menyusun strategi sehingga berjaya, baginda memimpin umat dari suatu kemenangan kepada suatu kemenangan, dan dari suatu kemuliaan kepada suatu kemuliaan.
Mempelajari sirah Nabi juga kewajipan setiap pemimpin yang inginkan kebaikan untuk umatnya, ia mengajarnya bagaimana Rasulullah mentadbir umatnya dengan adil dan syura, tidak bersifat tirani dan tidak menutup mulut, dan tidak menyembunyikan peribadi.
Mempelajari sirah Nabi juga kewajipan setiap peniaga dan hakim, ia mengajarnya bagaimana untuk berurusan dengan manusia, cara-cara untuk menghukum serta perlunya bersifat neutral, dan perlunya zuhud dan bersabar dalam keadaan senang ataupun susah.
Sesungguhnya sirah ini bersifat syumul, telah terkumpulnya pada Nabi kita segala sifat dan keistimewaan yang tidak terkumpul kepada rasul-rasul sebelumnya, bahkan segala sifat yang tertonjol yang ada pada setiap rasul telah wujud pada Nabi Muhammad s.a.w.”
[ Fi Zilal As-Sirah An-Nabawiyah, Dr Muhammad Abdul Qadir Abu Faris ]
Langkah paling praktikal untuk menunjukkan kecintaan kita kepada Rasulullah adalah dengan rajin membaca sirahnya, kemudian mengikuti sunnahnya dalam seluruh aspek kehidupan, sehinggalah terbukti kemuncak kecintaan itu dengan mengikuti sunnah terbesarnya iaitu dakwah dan tarbiyah.
Ustaz Ahmad Nu’man Mazlan
Pegawai Eksekutif Biro Dakwah ISMA