Kerajaan kaji rangka undang-undang berkaitan AI dari sudut Islam

Kuala Lumpur: Kerajaan akan melihat sama ada undang-undang berkaitan teknologi kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence (AI) perlu dirangka atau sebaliknya dari perspektif Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta CyberSecurity Malaysia (CSM).

“Setakat ini, perhatian kita di peringkat agensi agama ialah untuk melihat kepada penyediaan garis panduan dan etika penggunaan AI daripada perspektif Islam.

“Berhubung dengan membina sebuah sistem AI, pihak kerajaan melalui agensi yang bertanggungjawab, akan memutuskan.

“Dalam erti kata lain, kita akan adakan perbincangan dengan KDN, KPDN, Mosti serta CyberSecurity untuk melihat sama ada undang-undang berkaitan AI ini perlu dirangka atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai adakah kerajaan bercadang menggubal undang-undang khusus berkait dengan AI sama ada dari segi hak cipta dan harta intelek.

Zulkifli juga bertanya adakah kerajaan bercadang mahu membina sebuah sistem AI dalam pengeluaran pandangan hukum dan fatwa di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, dari segi konteks pengeluaran hukum dan fatwa, perkara itu perlu diperhalusi daripada pihak berautoriti di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Undang-undang negeri masih lagi terkait dengan kuasa yang diberi kerajaan negeri khususnya kepada Mufti dan Jawatankuasa Fatwa.

“Sama ada, ada keperluan untuk mewujudkan satu (sistem) AI, akan kita bincangkan apabila kita telah ada satu garis panduan dan juga etika mengenai penyelidikan AI tersebut,” katanya.-My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts