Kerajaan perlu beri takrifan Islamofobia – MACSA

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memberi takrifan terhadap definisi Islamofobia sesuai kepentingan Islam sebagai agama rasmi negara mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA), Lukman Sheriff Alias, berkata isu Islamofobia tidak boleh diketepikan hanya kerana Malaysia sebuah negara dengan majoriti penduduk Islam.

Bagi mengatasi isu ini katanya, kerajaan disaran melantik penasihat bebas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang sering menjadi rujukan berkaitan isu Islamofobia serta sekretariat yang antaranya dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Perhatian serius kerajaan terhadap kejadian Islamofobia membolehkan umat Islam yang berdepan isu ini mendapatkan bantuan supaya tindakan tegas boleh diambil.

“Penting untuk dipertingkatkan kesedaran masyarakat melalui pelbagai kempen kesedaran supaya lebih ramai sedar sentimen mencemarkan nama Islam adalah menyalahi undang-undang dan pelaku boleh berdepan risiko pendakwaan jenayah.

“Dalam masa sama, kerajaan digesa mengambil langkah proaktif dalam menangani Islamofobia termasuk menggubal undang-undang khusus jika perlu,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Pelancaran Laporan Julung Kali Islamofobia yang diadakan secara maya, sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan; Pengerusi Bersama MACSA yang juga Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM), Firdaus Wong Wai Hung.

Lukman Sheriff berkata, definisi Islamofobia perlu diperjelaskan supaya ia boleh ditolak dan mengelakkan masyarakat daripada terikut-ikut umpamanya ketika kerajaan cuba memperkenalkan tulisan Jawi dan kaligrafi khat di sekolah beberapa tahun lalu.

Katanya, Jawi hanyalah simbol bertulis yang boleh digunakan bagi pelbagai tujuan termasuk oleh masyarakat Islam, Kristian, Buddha atau bagi tujuan keilmuan saintifik begitu juga dengan kaligrafi khat yang tidak mempunyai perbezaan dengan pelbagai tulisan untuk abjad roman.

“Apabila ia cuba diperkenalkan semula, semua pihak menunjukkan ketakutan berlebihan kepada Islam sehingga ia diguna pakai oleh pelbagai pihak tertentu bagi menolak tulisan Jawi,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts