Kes hina Nabi SAW: Hormati Islam sebagai agama Persekutuan

 

KUALA LUMPUR: Penahanan seorang suspek selepas dikatakan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi penghasilan karikatur perlu didakwa mengikut akta sedia ada sebagai pengajaran kepada masyarakat berbilang agama di Malaysia, sekali gus mengelak kes sama berulang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) diyakini akan menjalankan siasatan adil dan saksama, tanpa mengira latar belakang suspek yang terbabit dengan kes terbabit.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang mempermudahkan operasi PDRM menahan suspek kerana menghina Nabi Muhammad SAW melalui karikatur.

“Saya juga mengucapkan tahniah di atas tindakan segera PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media hari ini melaporkan seorang lelaki disyaki menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah, menerusi laman sosial Facebook, ditahan polis di rumahnya dekat Mentakab, Pahang, semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 68 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sejak kelmarin.

Difahamkan suspek ditahan di rumahnya pada jam 11.30 pagi semalam, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh untuk tindakan lanjut, manakala siasatan kes terbabit kini diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman.

Kelmarin, seorang pengguna Facebook mengundang kemarahan umat Islam di negara ini, selepas memuat naik kartun berunsur penghinaan ke atas perkahwinan Nabi Muhammad SAW dan Saidatina Aisyah.

Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, kebebasan media dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi agenda Malaysia baharu tidak sewajarnya disalah guna sewenang-wenangnya oleh pihak tertentu.

“Kita juga wajib menghormati Islam sebagai agama Persekutuan seperti tertakluk dalam Perlembagaan Malaysia dan juga sebaliknya,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
2 comments
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts