Kisah Fatima Hjeiji, remaja ketujuh dibunuh Israel

 

TEBING BARAT – Suasana hiba menyelubungi kediaman keluarga Fatima Hjeiji,16, remaja perempuan yang ditembak mati oleh rejim Israel, baru-baru ini.

Kediaman itu tidak henti menerima kunjungan saudara-mara, rakan-rakan dan jiran terdekat untuk memberi penghormatan terakhir kepada Fatima. Seorang demi seorang memeluk ibunya, Dareen Hjeiji dan memberikan ucapan takziah serta kata-kata semangat terhadap wanita itu.

“Dia (Fatima) adalah seorang gadis yang sangat indah. Semua orang di sekolah sangat menyukai dan menyenanginya. Saya sekelas dengan dia sejak di gred pertama. Dia mempunyai watak yang sangat kuat dan tidak takut untuk mengatakan apa sahaja dia mahu,” kata rakan karibnya, Nadin Imad, 17.

Menyingkap peristiwa sebelum kejadian itu berlaku, ibunya berkata, Fatima pulang dari sekolah seperti hari-hari biasa sebelumnya, sekitar jam 1.30 tengah hari.

“Ia merupakan hari yang biasa, tiada apa yang luar biasa. Dia bercerita mengenai hari sekolahnya, rakan-rakan, guru dan kerjanya.

“Saya mempunyai temujanji dengan doktor, jadi saya meninggalkan rumah untuk ke temujanji itu. Fatima tidak memberitahu saya dia akan ke Jerusalem untuk melawat saudara mara beliau,” kata Dareen.

Sementara, bapa Fatima, Salameh Hjeiji berkata, beliau percaya anak perempuannya itu pergi melawat ibu dan bapa saudaranya yang tinggal di Old City di Jerusalem.

Bagaimanapun, Fatima tidak memaklumkan perkara itu kepada keluarga terdekat berhubung rancangannya. Malah, beliau tidak mempunyai permit untuk membolehkan beliau dibenarkan masuk ketika melalui tempat pemeriksaan Israel yang memisahkan Jerusalem dan Tebing Barat.

Sekitar petangnya, keluar menerima panggilan telefon daripada pejabat penyelarasan tentera Palestin-Israel di Tebing Barat, yang memberitahu bahawa Fatima telah ditembak mati oleh tentera Israel berhampiran pintu masuk di Jerusalem.

 

 

Tidak lama kemudian, bapa Fatima menerima panggilan daripada seorang pegawai perisikan Israel, meminta beliau datang ke Jerusalem untuk proses pengecaman mayat.

Salameh juga turut disoal siasat oleh beberapa pegawai perisikan selama tiga jam pada petang itu.

Polis Israel sebelum ini dalam satu kenyataan mendakwa, Fatima memegang pisau dan cuba menyerang pegawai tentera Israel berhampiran dengan pintu masuk Old City sebelum ditembak mati.

Namun, naluri Dareen menolak dakwaan itu dan menyifatkan bahawa pegawai-pagawai polis itu tidak mempunyai justifikasi untuk menembak anak perempuannya itu.

“Saya tidak pernah dapat membayangkan bahawa anak perempuan saya akan melakukan sebegitu. Saya tidak percaya apa yang didakwa oleh polis Isreal,” katanya.

Menurut laporan saksi yang dipetik media tempatan, Fatima berdiri sekitar 10 meter dari pegawai polis ketika mereka menembak beliau.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu adalah seorang remaja yang kuat dan meminati penulisan puisi serta berpidato pada masa lapang beliau.

Malah, keluarganya berkata, Fatima juga seorang pelajar pintar dan cemerlang terutama dalam subjek matematik. Ibunya turut menyifatkan bahawa Fatima adalah seorang yang sangat tenang dan baik, termasuk terkenal dalam kalangan rakan-rakan di kelasnya.

“Dia adalah sebahagian daripada ahli sebuah kelab untuk pelajar matematik di Ramallah,” kata Dareen.

Katanya, remaja itu bercita-cita untuk bekerja di lapangan media sebagai seorang wartawan apabila tamat belajar.

“Dia adalah seorang penceramah dan penulis yang baik,” katanya.

Pertubuhan hak kanak-kanak, DCI-Palestin (DCIP) berkata, kematian Fatima adalah remaja Palestin ketujuh dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel pada tahun ini. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts
Read More

Konvoi sambil berdakwah

  KUALA LUMPUR: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengadakan Konvoi Semarak Dakwah sempena sambutan Hari Kemerdekaan bagi mendekati…