KPM akan laksana intervensi, bantu sekolah tahfiz

 

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melakukan beberapa intervensi untuk membantu sekolah tahfiz bagi memastikan pelajar tahfiz mampu berdaya saing sama ada di dunia akademik atau pasaran kerja yang semakin mencabar.

“Biasanya, isu yang berbangkit di sekolah tahfiz adalah mengenai kualiti pengajaran dan pendidikan. Jadi, kita ingin memastikan supaya sekolah tahfiz tidak menggadaikan kualiti pendidikan untuk anak-anak kerana mereka inilah masa depan negara,” kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Ketika ditemui selepas merasmikan Konvesyen Pendidikan Kebangsaan ke-24 dan Persidangan Agung Perwakilan ke-36 Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, di Subang Jaya dekat sini, hari ini, beliau berkata langkah itu bagi memastikan semua pelajar tahfiz mempunyai keseimbangan antara ilmu ukhrawi dan duniawi.

“Kita tidak mahu apa yang diajarkan di sekolah tahfiz itu akan melahirkan pelajar-pelajar yang tidak mengenal ilmu duniawi. Ia kena ada keseimbangan di antara ilmu akhirat (ukhrawi) dan duniawi yang diperlukan terutamanya dari segi Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin yang mencadangkan penutupan sekolah tahfiz yang disifatkan terlalu radikal, Maszlee berpendapat semua ibu bapa mempunyai hak untuk memilih pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka.

“Itu tidak menepati dengan aspirasi saya yang percaya kepada kebebasan ibu bapa untuk memilih pendidikan yang terbaik buat anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Maszlee juga menggesa agar setiap sekolah rendah menyediakan sudut pidato atau sudut berbicara (speakers’ corner) sebagai medium kepada murid mengasah bakat dalam bidang pengucapan awam.

“Setiap hari, hendaklah ada dalam kalangan anak-anak murid yang dilatih untuk menyampaikan pidato atau pengucapan awam. Kita dapati di kebanyakan negara-negara maju, mereka mempunyai sudut-sudut yang sedemikian di sekolah-sekolah.

“Ia akan membantu melahirkan anak-anak murid yang bukan sahaja mempunyai kemahiran untuk berbicara di khalayak ramai tetapi juga berkeyakinan tinggi,” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts