Majalah Time dedikasikan ayat al-Quran khas kepada sukarelawan Syria

times

 

ISTANBUL – Majalah Time memetik ayat suci, Al-Quran, dalam edisi bulan ini untuk didedikasikan kepada sukarelawan di Syria yang telah menyelamatkan ribuan orang awam.

Ayat 32 dari surah Al-Ma’idah yang bermaksud: “…Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya….” ditujukan khas kepada sukarelawan ‘White Helmet’ yang menyabung nyawa membantu dan menyelamatkan mangsa serangan rejim Bashar Al-Assad di Syria, terutama di Aleppo.

Difahamkan petikan ayat itu menjadi moto kumpulan sukarelawan berkenaan.

Majalah Time menyatakan bahawa sukarelawan ‘White Helmet’ telah menyelamatkan ribuan nyawa orang awam akibat serangan rejim Syria.

Pengarah Eksekutif Right Livelihood Award, Ole Von Uexkull berkata, kumpulan ‘White Helmet’ bergegas ke kawasan runtuhan bangunan bagi menyelamatkan orang awam.

“Mereka datang selepas bom digugurkan dan membebaskan orang awam daripada runtuhan bangunan dan rumah.

“Ramai warga Syria percaya dan berharap, sukarelawan ini akan membantu membina semula negara ini daripada runtuhan, apabila perjanjian damai dicapai,” katanya.

Ayat suci al-Quran itu menceritakan mengenai pembunuhan Habil yang dilakukan Qabil.

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israel, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.” (Ayat 32 Surah Al-Ma’idah)

‘White Helmet’ telah menerima anugerah Right Livelihood Award pada September lalu. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts