Sengaja hina al-Quran boleh murtad, wajib bertaubat: Mufti

BANGI– Tindakan membuang beberapa naskah al-Quran ke dalam longkang adalah penghinaan terhadap kitab suci dan boleh menimbulkan kemarahan setiap individu beragama Islam di negara ini.

Kesal dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, menghina al-Quran dengan sengaja boleh menjadikan seseorang itu murtad dan diwajibkan bertaubat.

“Setiap individu Muslim yang beriman kepada agamanya tentu tersentuh, marah dan kesal apabila melihat klip video yang memaparkan beberapa naskah mushaf al-Quran dikeluarkan daripada sebuah longkang.

“Mencampakkan naskah al-Quran ke tempat sedemikian merupakan satu penghinaan terhadap kitab suci tersebut yang tidak dapat diterima walau atas apa alasan sekali pun.

‘Tindakan hina al-Quran dengan sengaja boleh menjadikan seseorang itu murtad dan diwajibkan bertaubat,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut tegas beliau, pihak berkuasa boleh melaksanakan hukuman tegas terhadap pelaku menurut hukum Islam sebagai pengajaran kepada masyarakat awam.

Jelas beliau, penghinaan terhadap al-Quran boleh berlaku pelbagai cara antaranya mengoyakkannya, mencontengkannya, mencampakkannya ke bumi (lebih-lebih lagi ke tempat yang kotor), memijaknya, membakarnya (kecuali untuk tujuan pelupusan dan sebagainya).

Atas dasar itu beliau berpandangan, pelupusan al-Quran merupakan kaedah terbaik dan perlu dilaksanakan mengikut proses yang betul iaitu dibakar dan abunya sama ada ditanam atau dicampak ke laut.

“Pelupusan perlu dibuat dengan cara yang penuh tertib demi memelihara kesuciannya seperti dibakar dengan menggunakan mesin khusus kemudian abunya ditanam atau dicampak ke laut,” katanya.

Terdahulu tular mengenai video di laman sosial menunjukkan seorang individu mengutip beberapa naskhah al-Quran yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di dalam longkang berhampiran lombong Taman Sri Murni di Gombak. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts